
HONDA NAK HIDUPKAN SEMULA S2000….TAPI JALANNYA TAK SEMUDAH ITU!
Bagi peminat tegar jenama Honda, ada satu soalan yang sering muncul setiap kali model baharu diperkenalkan: bila agaknya Honda akan hidupkan semula S2000?
Kalau kita lihat pada barisan model semasa, memang ada kekosongan ketara, tiada coupe atau roadster dua tempat duduk yang benar-benar fokus untuk keseronokan pemanduan.
Prelude generasi baharu mungkin cuba isi ruang itu, tapi realitinya, ia lebih kepada grand tourer hibrid yang jinak… bukannya pengganti sebenar kepada S2000.
Namun begitu, harapan masih belum padam. Dalam satu temubual bersama portal Drive Australia semasa Japan Mobility Show di Tokyo, Ketua Jurutera Honda, Tomoyuki Yamagami, mendedahkan bahawa semangat untuk menghidupkan kembali S2000 masih kuat dalam kalangan warga Honda sendiri.

“Sudah tentu semua orang di Honda sukakan S2000. Kalau boleh, saya sendiri mahu hasilkan satu lagi generasi baharu,” kata beliau.
Tapi seperti biasa, masalah utama bukan pada keinginan tapi pada angka dan sumber.
Yamagami menjelaskan bahawa Honda ketika ini tidak mempunyai platform yang sesuai untuk sebuah sports car pacuan belakang seperti S2000. Dan berbeza dengan Toyota yang bekerjasama dengan Subaru (GR86) atau BMW (GR Supra), Honda tidak berminat untuk kongsi projek seperti itu.
“Kami tahu apa yang peminat jangka daripada sebuah S2000. Yang penting ialah memastikan DNA Honda kekal, jadi kami perlu hasilkannya sendiri,” jelas beliau.
Namun cabaran terbesar ialah kos. Untuk membangunkan kereta sports tulen yang dihasilkan dalam jumlah kecil, kos penyelidikan dan pembangunan akan melonjak tinggi, sekali gus menyebabkan harga jualan sukar untuk dikawal.
Sebaliknya, model seperti Prelude baharu lebih mudah dikawal harga kerana berkongsi komponen dengan Civic dan Civic Type R, termasuk platform dan rangkaian kuasa hibrid. Tetapi walaupun dengan pendekatan itu, Honda masih menerima maklum balas bahawa Prelude terlalu mahal.
“Kami cuba gabungkan teknologi Civic dan HEV untuk kurangkan kos, tapi ramai masih kata harganya tinggi,” tambah Yamagami.
Kesimpulannya, Honda memang mahu bina semula S2000, tetapi buat masa ini mereka belum mampu mencari justifikasi ekonomi untuknya.
Membangunkan semula sebuah ikon seperti S2000 bukan sekadar nostalgia, ia perlukan pelaburan besar, teknologi khas, dan yang paling sukar, harga yang masuk akal.
Jadi buat masa ini, S2000 kekal sebagai mimpi yang masih menunggu masa untuk dihidupkan semula.




