
VOGE SR450X DEBUT DI EICMA – ENJIN DUA SILINDER, 42HP
VOGE membariskan beberapa model baharu bagi tahun 2026 namun antara yang paling mencuri tumpuan adalah Voge SR450X.
Skuter gaya adventure itu menarik perhatian ramai ekoran menawarkan spesifikasi yang tinggi bagi skuter segmen 400cc.
Pertamanya, ketika pengeluar lain mengguna pakai enjin satu silinder, VOGE mengambil langkah berani dengan menyuntik unit dua silinder (parallel-twin_ 398cc dengan sistem penyejuk cecair.

Hasilnya, SR450X ini berupaya menjana 41.85hp pada 8,000rpm dan 42Nm pada 5,750rpm. Untuk perbandingan, pesaing terdekat, Zontes 368G menawarkan 38.8hp dan 40Nm.
Lebih menarik, skuter ini dilengkapi dengan ciri moden termasuk ABS depan dan belakang, traction control serta TPMS (tyre pressure monitoring system) yang boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna 7-inci.

Kelengkapan lain ditawarkan termasuk dashcam depan dan belakang, suspensi KYB, brek J.Juan depan dan Nissin di belakang, penghadang angin elektronik serta grip dan tempat duduk dengan fungsi pemanas.
Tidak cukup dengan itu, SR450X ini juga menawarkan kapasiti tangki yang besar dengan 18L dan ruang letak barang yang boleh memuatkan dua helmet.
Ketinggian tempat duduk adalah 795mm dengan jarak kelegaan tanah diletakkan pada 180mm.







