
2 PASUKAN PETUGAS KHAS DITUBUH TELITI INSIDEN KLIA, PTP, TREN BUTTERWORTH
Mesyuarat Pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Rabu memberi tumpuan kepada tiga insiden berasingan yang berlaku baru-baru ini, membabitkan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Stesen Keretapi Butterworth.
Mesyuarat berkenaan turut menerima taklimat menyeluruh berhubung kejadian limpahan air hujan di Terminal 1 KLIA yang berlaku ketika kerja-kerja kalis air di bumbung utama sedang dijalankan oleh kontraktor Teras Budi Resources Sdn Bhd, di bawah kontrak bernilai RM5.27 juta yang berkuat kuasa dari 15 April 2025 hingga 14 April 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, susulan kejadian itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengeluarkan arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan serta tindakan pembetulan diambil.

“Saya turut mengarahkan MAHB mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terlibat atas kecuaian yang membawa kepada insiden tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam mesyuarat sama, ujarnya, kerajaan memutuskan penubuhan dua Pasukan Petugas Khas peringkat kementerian bagi memastikan siasatan yang telus dan bebas terhadap dua insiden lain di bawah sektor pengangkutan.
“Pasukan petugas pertama akan meneliti insiden letupan kontena di atas kapal MV Kyparissia di PTP pada 7 November 2025 yang mengorbankan tiga mangsa serta mencederakan tiga lagi.
“Siasatan akan merangkumi aspek operasi, pematuhan keselamatan dan mekanisme pengendalian kargo berbahaya,” ujarnya.
Sementara itu, pasukan petugas kedua ditubuhkan untuk menyiasat insiden tren komuter yang terlajak hingga ke hujung landasan di Platform 4 Stesen Butterworth pada 8 November 2025.
“Penilaian akan dibuat terhadap punca kejadian serta keperluan penambahbaikan bagi mencegah kejadian serupa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap pemandu tren terlibat sebelum tindakan susulan diambil.
Jelasnya, MOT menegaskan komitmen terhadap keselamatan pengguna serta integriti operasi, sambil mengingatkan semua operator sektor pengangkutan supaya mematuhi prosedur keselamatan, selain memastikan penyelenggaraan dan pemantauan dijalankan secara berterusan.
“Perkembangan siasatan kedua-dua pasukan petugas tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah beliau. – Sinar Harian
- BACA: PASUKAN PENGELUAR LANCIA SAHIH AKAN MENYERTAI WRC2 MUSIM 2026 DENGAN YPILSON RALLY2 HF INTERALE
- BACA: MAZDA 6E EV BAKAL DEBUT DI MOTOR EXPO THAILAND – TAWAR JARAK GERAK 500KM
- BACA: PERMINTAAN BEV MENINGKAT, TIV OKTOBER CAPAI 75,992 UNIT
- BACA: TUHU KINI DI MALAYSIA: SIHAT UNTUK PENGGUNA, BENGKEL TEMPATAN RISAU!








