
PERANG HARGA KERETA BERMULA, PENGELUAR BERSAING KEKALKAN PENGUASAAN
Gelombang kempen promosi agresif akhir tahun bagi kereta sudah bermula, apabila kebanyakan pengeluar automotif melancarkan tawaran menarik untuk memikat pembeli dan mempertahankan bahagian pasaran masing-masing.
Penganalisis TA Securities, Angeline Chin, berkata Honda sebagai contoh menawarkan rebat sehingga RM17,000 bagi model kereta ICE (enjin pembakaran dalaman) terpilih, dan sehingga RM34,000 bagi model kenderaan elektrik (EV) e:N1.
“Kami meramalkan persaingan harga akan meningkat pada suku keempat, dengan syarikat-syarikat dijangka memberi keutamaan kepada bahagian pasaran berbanding margin keuntungan, sekali gus mendorong peningkatan jumlah jualan industri (TIV).
“TIV bagi bulan Oktober dijangka melebihi paras bulan September, disokong promosi hujung tahun dan potensi lonjakan permintaan untuk EV sebelum tamatnya pengecualian cukai bagi model CBU,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Bermaz Motor sejak bulan lalu mengemas kini harga bagi beberapa model Mazda yang dijual di Malaysia, iaitu CX-80, CX-8, CX-5 dan CX-30. Keempat-empat model itu menerima senarai harga baharu yang lebih rendah berkuat kuasa mulai 15 September 2025.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV bagi September 2025 ialah sebanyak 58,500 unit, menunjukkan penurunan ketara 21.5 peratus bulan ke bulan berbanding 74,500 unit pada Ogos 2025.
Chin berkata, prestasi lebih lemah ini terutama disebabkan tempoh bekerja lebih pendek pada bulan berkenaan, di samping sikap ‘tunggu dan lihat’ pembeli menjelang pengumuman Belanjawan 2026.
“Kami percaya penurunan ini juga sebahagiannya berpunca daripada penutupan kilang untuk penyelenggaraan berjadual oleh pemain industri utama,” katanya.
Jualan kenderaan penumpang menurun 22.4 peratus bulan ke bulan kepada 53,400 unit, manakala jualan kenderaan komersial merosot 10.5 peratus bulan ke bulan kepada 5,100 unit.

Dari segi tahun ke tahun, TIV kekal hampir tidak berubah, dengan pertumbuhan kecil 0.3 peratus dalam jualan kenderaan penumpang mengimbangi penurunan 0.5 peratus jualan kenderaan komersial.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, TIV terkumpul susut 2.8 peratus kepada 579,300 unit, berbanding 595,900 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi lebih lemah ini dipengaruhi oleh kedua-dua segmen penumpang dan komersial, mencerminkan sentimen pengguna yang lembap serta perbelanjaan perniagaan yang berhati-hati.
Pada September 2025, jumlah jualan kenderaan penumpang nasional menurun dengan ketara kepada 36,000 unit, penurunan 22.9 peratus bulan ke bulan daripada 46,700 unit pada Ogos, walaupun masih 4.2 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Prestasi lemah ini sebahagiannya disebabkan penutupan kilang bagi penyelenggaraan berjadual, di samping aktiviti jualan bilik pameran yang perlahan serta sentimen pengguna yang lebih berhati-hati.

Bagi sembilan bulan pertama 2025, jumlah jualan terkumpul kenderaan penumpang nasional mencatatkan 365,200 unit, susut 1.4 peratus berbanding 370,600 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.
PERODUA mencatatkan penurunan besar 27 peratus bulan ke bulan kepada 23,400 unit pada September.
Sementara itu, PROTON mengalami penurunan lebih sederhana 14 peratus bulan ke bulan kepada 12,600 unit, namun masih mencatatkan peningkatan 16 peratus tahun ke tahun, disokong permintaan kukuh terhadap model utamanya.
Menariknya, Proton e.MAS 7 terus mengekalkan kedudukannya sebagai EV paling laris di Malaysia, dengan 845 unit dijual pada September, menjadikan jumlah keseluruhan jualan tahun ini sebanyak 6,656 unit.
Jualan kenderaan penumpang bukan nasional jatuh 21.3 peratus bulan ke bulan kepada 17,400 unit pada September, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam jenama utama seperti Volkswagen, Honda , Mazda, dan Toyota.
Dari segi tahun ke tahun, jualan bukan nasional merosot 6.8 peratus, mencerminkan kelemahan menyeluruh dalam kalangan jenama utama.
Menariknya, Nissan terkecuali apabila mencatatkan peningkatan kukuh 44.7 peratus, didorong oleh kesan asas yang rendah.
Chin berkata, persaingan harga yang sengit dijangka akan menekan margin keuntungan, menunjukkan bahawa sebarang peningkatan bahagian pasaran mungkin dicapai dengan mengorbankan keuntungan.
“Kami mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham Bermaz Auto, MBMR dan Sime.
“Ramalan TIV kami tahun ini kekal pada 750,000 unit, mencerminkan pandangan berhati-hati terhadap prospek sektor automotif,” katanya. – Berita Harian
- BACA: ULANG TAHUN NISSAN X-TRAIL 25 TAHUN DENGAN EMPAT GENERASI. SIAP SEDIA GENERASI KELIMA MENYUSUL PULA NANTI
- BACA: LEPAS RASMI ELEGANT LIFESTYLE HOUSE PERTAMA – LANCAR LEPAS ELEGANT TECHNOLOGY
- BACA: ISUZU D-MAX KEMBALI BERGASAK DI BORNEO SAFARI KE-33
- BACA: PROTON e.MAS TERUS BERKEMBANG, KINI MENJADI RANGKAIAN PENGEDAR EV TERBESAR DI MALAYSIA







