
4 RISIKO YANG ANDA KENA HADAP BILA PANDU BELAKANG LORI KONTENA.
Kalau anda memandu di lebuh raya, adalah lebih mudah untuk anda melepaskan diri daripada lori kontena berbanding dengan anda memandu di jalan raya persekutuan yang biasa. Lebuh raya dengan 2 lorong memandu membenarkan anda memotong lori kontena dengan pantas dan selamat.
Tapi lain ceritanya bila anda memandu di jalan raya persekutuan, apatah lagi jalan berkenaan melalui jalan yang berselekoh dan juga berbukit menjadikan lori kontena ini menjadi semakin perlahan. Kalau nak memintas mereka, adalah sangat berisiko bagi anda melainkan terdapat lorong memotong di laluan mendaki
Tapi bagi anda yang terpaksa mengikuti belakang lori kontena, ini adalah bahaya yang anda terpaksa hadapi sewaktu memandu di belakang lori kontena.
1. Jarak penglihatan terhad – lori kontena dengan rekaan empat segi yang besar amat menjengkelkan bagi pemandu yang terperangkap di belakang kerana rekaan sebegini akan menyebabkan jarak penglihatan anda menjadi sangat terhad.
Anda tak dapat melihat apa-apa disebabkan rekaan kontena ini, melainkan anda perlahankan sedikit kenderaan anda bagi memberi ruang untuk anda melihat jauh ke depan. Ini memudahkan anda mencari peluang untuk memotong dengan cepat
2. Turbulence – aerodinamik di belakang kontena adalah sangat teruk kerana angin yang melepasi belakang kontena tidak dapat bergerak dengan garis lurus, sebaliknya ia bergulung-gulung di belakang kontena dengan tidak sekata.
Keadaan ini menyebabkan kenderaan kecil dan ringan seperti kereta kompak dipengaruhi oleh pergerakan angin dari belakang kontena ini. Kadangkala anda boleh rasa muncung depan kereta anda boleh menjadi terhuyung-hayang akibat pergerakan angin ini
3. Percikan air – turbulence yang bergulung-gulung ini juga menjadikan titisan air hujan di belakang lori kontena seperti ribut puting beliung yang berlaku di belakang lori kontena. Kalau anda perhatikan dengan betul-betul, hujan tidak lebat sangat tapi kesan pada cermin depan kereta anda memang dahsyat.
Mungkin anda terpaksa menggunakan pengelap cermin depan dengan kelajuan yang paling tinggi untuk mengelakkan air daripada terkumpul di cermin depan kereta anda.
4. Percikan batu – tayar lori kontena adalah besar dan beban yang ditanggung oleh tayar ini menjadikan serpihan batu di atas permukaan jalan “ditembak” ke arah kereta anda sebaik sahaja batu ini dipijak oleh tayar lori
Percikan batu ini boleh merosakkan kemasan cat pada penutup enjin, bampar depan, menyebabkan calar pada lampu depan dan boleh menyebabkan cermin depan merekah jika ia terkena pada cermin depan kereta anda.
Jika anda berpeluang untuk memintas lori kontena ini, sila pintas dengan segera di laluan lurus dengan jarak penglihatan yang baik atau potong ketika laluan memotong disediakan. Jika tidak dapat, jarakkan sedikit kenderaan anda dengan belakang lori kontena ini bagi mengelakkan semua situasi di atas.


