Buletin

INI PAPAN PEMUKA CR-V 2023, SAMA MACAM CIVIC DAN HR-V?

Pada Mei lalu Honda telah berkongsi sebahagian gambar depan dan belakang CR-V 2023 (generasi keenam). Dari gambar tersebut, gayaan CR-V 2023 membawakan elemen model terbaru Honda seperti HR-V, BR-V dan Civic.

Terbaru Honda mendedahkan papan pemuka CR-V dan menariknya seakan Civic generasi kesebelas (FE).

Bukan sahaja Civic, papan pemuka tersebut juga seakan sama seperti HR-V baharu untuk pasaran Amerika Syarikat.

Ini bermakna, tiga model Honda menggunakan papan pemuka yang yang hampir sama di antara satu sama lain.

 

Papan pemuka Honda CR-V 2023

Pada pendapat penulis, sekarang boleh disimpulkan mengapa papan pemuka Civic FE membawa gaya berbeza berbanding sebelum ini.

Civic FD dan FB (generasi kelapan dan kesembilan) misalnya garang dengan papan pemuka ala jet pejuang dan kemudian tampil sederhana namun masih menyerlah pada Civic FC (generasi kesepuluh).

Civic FE pula langsung berbeza dan nampak seperti gayaan klasik dan retro dengan gril atau lubang pada tengah papan pemuka.

Papan pemuka Honda Civic

Selain itu, stereng pada ketiga-tiga Civic, HR-V dan CR-V juga seakan sama dengan tiga rongga, bentuk hon dan suis kanan dan kiri.

Turut kelihatan sama ialah tombol gear manakala identiti tersendiri boleh dilihat pada konsol gear dan tengah.

Melalui persamaan tersebut adakah ianya menjadi satu kesalahan? Tidak dan perkongsian sebegini adalah perkara biasa di dalam dunia automotif.

Papan pemuka Honda HR-V

Selain rekabentuk dalam dan luar, Honda tidak banyak berkongsi maklumat rangkaian kuasa kecuali gambar terdahulu yang memaparkan lencana CR-V Hybrid dan sistem hibrid yang lebih canggih.

Sebagai rujukan, Civic e:HEV digerakkan enjin 2.0 liter dengan sistem i-MMD dan biasanya rangkaian kuasa Civic dikongsi dengan CR-V.

CR-V 2023 juga mungkin kekal dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

Kepada yang teruja untuk melihat reka bentuk penuh, Honda telah mengesahkan CR-V 2023 akan didedahkan pada 12 Julai 2022.

BACA: HONDA E LIMITED EDITION, 50 BUAH SAHAJA HARGA MULA RM204K!

BACA: ENJIN HONDA K20C, APA YANG MEMBUATKANNYA TAHAN LASAK & BERKUASA?

BACA: HONDA ODYSSEY SPORT 3.5L V6, UNTUK PENGGUNA AMERIKA SYARIKAT!

Google ads
Back to top button