Artikel Pilihan

6 HYPERCAR EV BERKUASA TINGGI. ADA DUIT BOLEH BELI

Sewaktu kereta elektrik diperkenalkan puluhan tahun dulu, ia bukanlah kereta yang boleh dikaitkan dengan prestasi. Tapi dipasarkan sebagai pilihan alternatif untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar. Disebabkan konsep tersebut, ia memiliki rekaan yang sedikit pelik terutama dengan rekaan bahagian belakang Kammback

Tapi siapa sangka dengan ketegasan polisi undang-undang antarabangsa, kemajuan yang dikecapi dalam bidang pembuatan bateri, elektronik dan teknologi membolehkan kereta EV masa kini memiliki prestasi yang mengagumkan. Ia boleh mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa kurang kurang 5 saat.

Kehadiran model Tesla dalam pembangunan kereta EV menjadi pemangkin untuk kemunculan satu generasi kereta supecar dan juga hypercar generasi baru, dikuasakan dengan bateri sepenuhnya dan memiliki jarak pemanduan sehingga 500km. Jadi kami senaraikan di sini beberapa model hypercar dan supercar EV yang bakal diperkenalkan ataupun sudah mulai dijual

1. Rimac Nevera – diasaskan oleh syarikat Rimac Automobili yang berpengkalan di Croatia adalah hypercar EV 2 tempat duduk pacuan semua roda dengan 1888 kuasa kuda. Sistem bateri dibekalkan dengan menggunakan 120 kWh Lithium Nickel Manganese Cobalt Oxide (LiNiMnCoO2) dengan jarak perjalanan 650km untuk satu pengecasan penuh

Nevera mampu memecut 0-100km/j dalam masa 1.85 saat serta mencapai kelajuan tertinggi 412km/j walaupun berat keseluruhan hypercar ini mencecah 2150kg. Semua roda dipasangkan dengan motor berkuasa tinggi sejukan cecair bagi memastikan prestasi yang optimum.

2. Pininfarina Battista – dihasilkan sendiri oleh Pininfarina iaitu firma rekaan yang biasa digunakan oleh Ferrari bagi menghasilkan rekaan mereka. Namun teknologi motor elektrik dan bateri diambil dari Rimac Automobili menjadikan prestasi Battista hampir sama dengan Rimac Nevera iaitu 1900 kuasa kuda dan 2300Nm tork

Tapi hanya sistem cesi, motor dan bateri sahaja diambil dari Rimac kerana Pininfarina masih bertanggungjawab menghasilkan rekaan mereka sendiri di fasiliti mereka di Cambiano, Itali. Rekaan dalaman pula akan dibuat mengikut kehendak pemilik dan hanya 150 unit sahaja yang akan dihasilkan

3. Tesla Roadster – memasuki generasi kedua yang akan dipasarkan pada tahun 2022 nanti, Tesla Roadster dihasilkan dengan mengguankan 3 motor elektrik iaitu 2 motor di belakang dan satu motor di bahagian depan. Tesla tidak mendedahkan berapa kuasa kuda yang dihasilkan, namun hanya mendedahkan konfigurasi ini menghasilkan 10,000Nm tork

Bateri sebesar 200kWh ini juga membolehkan hypercar ini dipandu sejauh 999km untuk pengecasan penuh. Roadster dengan kapasiti tempat duduk 2+2 ini boleh ditempah dengan harga pengenalan termasuk diskaun mencecah sehingga RM 1 juta bagi pasaran US. Pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 1.9 saat dengan halaju maksima 402km/j

3. Lotus Evija – merupakan cubaan pertama Lotus dalam menghasilkan hypecar EV dengan kuantiti terhad 130 unit sahaja. Ia menggunakan 4 motor elektrik yang menjana 1970 kuasa kuda pada setiap tayar dan 1700Nm Tork. Namun saiz bateri lithium ion hanya 70kWh membolehkan jarak pemanduan 400km sahaja.

Walaupun dengan berat 1680kg sahaja, pecutan 0-100km/j Evija mengambil masa 3 saat dengan kelajuan tertinggi 320km/j. Bagi memastikan kuasa brek yang berkuasa, Evija akan dipadankan dengan sistem brek seramik

4. Drako GTE- dinamakan sempena pengasas Drako Motor Inc. iaitu Dean Drako. Syarikat ini pun baru lagi kerana ia ditubuhkan pada tahun 2013 dan sebelum ini Drako banyak terlibat dalam industri IT. Drako GTE merupakan hypercar 4 motor elektrik yang menjana sehingga 1200 kuasa kuda dan 8880 Nm tork.

Kuasa elektrik dibekalkan dari bateri lithium ion sebesar 90kWh yang boleh dicas dalam masa 20 minit dari sistem pengecasan pantas. Pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 3 saat dan halaju tertinggi yang dicapai ialah 332km/j. Cesi Drako GTE diambil dari syarikat automotif elektrik yang gagal iaitu Fisker Automotive.

5. Nio EP9 – Nio merupakan satu syarikat yang menghasilkan kenderaan EV yang berpengkalan di Shanghai serta melibatkan diri dalam perlumbaan Formula E. Hasil penglibatan mereka dalam perlumbaan diterjemahkan menerusi penghasilan NIO EP9.

EP9 menggunakan 4 motor elektrik yang menghasilkan 1341 kuasa kuda yang dihasilkan dari bateri lithium ion 777 volt sejukan cecair. Pecutan 0-100km/j dibuat dalam 2.7 saat dan halaju maksimum yang pernah dicapai ialah 350km/j. Nio EP9 boleh dipandu sejauh 427km untuk satu pengecasan penuh.

6. Porsche Taycan Turbo S – Taycan dalam bahasa Turki bermaksud kuda dan lambang kuda memang sinonim dengan lambang Porsche. Taycan Turbo S dipadankan dengan 2 motor elektrik (1 depan dan 1 belakang) bagi menghasilkan 750 kuasa kuda dan 1050Nm tork.

Kuasa datang dari bateri lithium ion 83.7kWh sejukan cecair membolehkan Taycan dipandu sejauh 324km, memecut 0-100km/j dalam masa 2.6 saat serta halaju maksima 260km/j. Berbeza dengan pengeluar lain, Taycan dibekalkan dengan transmisi 2 kelajuan yang beroperasi pada halaju berbeza.

Antara sebab polisi kerajaan yang menekankan penggunaan kereta EV ialah untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida yang menyebabkan perubahan suhu dan cuaca. Pengeluar kenderaan mengambil kesempatan ini dengan menghasilkan EV yang sangat berkuasa dan mengujakan untuk dibeli.

Mungkin satu hari nanti harga EV akan jadi sangat murah dan fasiliti pengecasan semakin bertambah, maka ketika itulah EV akan mula diterima di Malaysia

Google ads
Back to top button