Buletin

‘PHUA CHU KANG’ DILARANG MEMANDU SELAMA 3 BULAN DAN DENDA RM2,491. PANDU CECAH 130KM/J

Selebriti terkenal Singapura, Gurmit Singh didenda S$800 (RM2,491) dan dilarang memandu selama tiga bulan selepas didapati bersalah memandu melebihi had laju, lapor Channel NewsAsia.

Pelakon dan pengacara yang terkenal dengan watak komedi Phua Chu Kang itu mengaku bersalah di bawah kesalahan Akta Lalu Lintas kerana memandu kenderaan melebihi had yang ditetapkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Gurmit, 56 tahun, melakukan kesalahan itu kerana memandu pada kelajuan 131 kilometer per jam (km/j), melebihi had yang ditetapkan iaitu 70km/j.

Sementara itu, aktor Singapura yang berdarah kacukan Punjabi, Cina dan Jepun itu memberitahu mahkamah bahawa ketika kejadian, dia dalam perjalanan mengambil anaknya dari tempat kerja sebelum terdengar bunyi aneh pada keretanya.

“Selepas saya mengambil anak saya, saya mahu dia mendengar bunyi yang sama. Kemudian saya sedar ia kedengaran pada kelajuan 100km/j,” katanya memberitahu mahkamah.

“Sudah tentu saya tidak mengatakan saya harus memandu pada kelajuan itu di jalan raya, tetapi ia hanya pada (jarak) yang dekat.

“Saya tidak tahu bagaimana saya boleh melebihi kelajuan 131km/j, saya berharap saya sedar.

“Tetapi saya berharap mahkamah memahami bahawa saya bukan seorang pemandu yang cuai atau melakukan perkara ini setiap hari,” tambahnya lagi.

Hakim Salina Ishak kemudian memberitahu tindakan Gurmit boleh menyebabkan nyawa dia dan anaknya dalam bahaya. –Awani

Google ads
Back to top button