Buletin

7 PEKERJA J&T PERAK MINTA MAAF. TIADA ISU DENGAN SYARIKAT KATANYA…

Seramai tujuh orang pekerja syarikat penghantaran J&T Express (J&T) Perak akhirnya tampil memohon maaf berhubung insiden membaling barang pelanggan yang tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 57 saat yang dimuat naik menerusi J&T Express Malaysia – Perak itu, seorang pekerja menegaskan bahawa tiada isu dalaman atau potongan gaji membabitkan pekerja dan syarikat berkenaan.

“Kami dari J&T Express Perak. Kebelakangan ini telah tular satu video di media sosial tentang pekerja tidak mengikuti SOP dan mencampak barangan pelanggan.

“Kami ingin memohon maaf dan kami ingin menjelaskan tiada isu dalaman atau pun potongan gaji diantara pekerja dan syarikat J&T Perak.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kami tidak ada melakukan tindakan mogok, kami ingin sekali lagi memohon maaf kerana telah menjejaskan nama syarikat serta menjejaskan barangan rakyat Malaysia.

“Kami sedaya upaya akan proses dan hantar barang pelanggan secepat mungkin,” katanya dalam rakaman video tersebut.

Terdahulu, J&T dalam satu kenyataan menjelaskan, insiden itu berlaku disebabkan oleh sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan kakitangan jabatan. Ia kemudian menjadi punca kepada insiden mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

Pada hujung minggu lalu, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.

Mereka didakwa bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap pengurusan syarikat  berikutan komisen yang diturunkan dari RM1 kepada 30 sen bagi setiap parcel.

Mereka juga dikatakan tidak berpuas hati dengan pembayaran elaun kerja lebih masa memandangkan mereka mengangkat barang dari lori sampai tengah malam setiap hari. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button