Buletin

MAAFKAN KAMI HAFIZH, ANDA DAH LAKUKAN YANG TERBAIK – BOS KTM

Hafizh memulakan perlumbaan di petak terakhir di MotoGP Catalunya. Sebenarnya, minggu ujian juga jentera KTM beberapa kali menghadapi masalah teknikal. Namun begitu, Hafizh Syahrin akui dia cuba untuk lakukan yang terbaik dengan apa yang ada.

Perlumbaan yang melibatkan banyak insiden pelanggaran itu juga berakhir dengan hampir separuh pelumba tak dapat menamatkan perlumbaan.

Hafizh yang bermula di petak terakhir, mendapat pace yang bagus, berdikit-dikit memintas pelumba sehingga berjaya menduduki petak ke 19. Namun dengan tidak dijangka, enjin beliau tiba-tiba mati di pusingan keempat memaksa beliau terpaksa keluar dari saingan.

“Saya benar-benar terkilan bila enjin mati selepas cuma beberapa lap. Saya ada pace yang baik dan sepatutnya dapat kutip sedikit mata dalam top 10 selepas semua kemalangan yang berlaku.

“Susah nak terima kenyataan tapi tak ada apa yang saya boleh buat pun. Saya cuba hidupkan semula enjin tapi tak berjaya. Ia situasi yang benar-benar sukar untuk dijelaskan. Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah fokus pada perlumbaan seterusnya,” ujar Hafizh.

Bos KTM juga ternyata berkongsi perasaan yang sama. Herve Ponchoral pengurus pasukan KTM Tech 3 berasa terkilan dan memahami perasaan Hafizh yang cukup optimis dalam pusingan ini.

“Saya benar-benar simpati dengan Hafizh. Kami ada minggu yang baik bersama. Ini adalah antara litar kesukaan beliau dan dia ada kedudukan yang baik bersama Miguel dan menghampiri posisi Tito Rabat . Semuanya nampak bagus sehinggalah enjin KTM beliau tiba-tiba mati.

“Kami akan lakukan siasatan tapi jelaslah ada masalah teknikal. Memang bagus sebenarnya kalau dapat melihat Oliviera dan Hafizh dapat mata di Catalunya tapi nasib tak menyebelahi kami.

“Kami ingin beritahu Hafizh, kami minta maaf. Di hari yang anda ada rentak yang bagus bersama jentera tapi tak dapat tamatkan saingan. Ia sesuatu yang memalukan kami.

“Tapi, mari kita ambil ini sebagai pengajaran positif; beliau nampaknya semakin bagus dan semakin meningkat keyakinannya bersama jentera KTM.

“Kita ada banyak lagi pusingan dan harapnya beliau dapat rentak yang sama di Assen dan kedua-dua pelumba kami dapat mengutip mata di sana.

“Kepada peminat, kami minta maaf. Perlumbaan kali ini memang luar biasa dan dramatik, tapi nasib tak menyebelahi kami.

“Apapun kami akan tumpukan pada ujian seterusnya dan bergerak ke Eropah Utara untuk perlumbaan pusingan pertama di Assen,” – Herve Ponchoral

Tags
Google ads
Back to top button