Buletin

MAAF, LAMBORGHINI BUKAN UNTUK DIJUAL – VOLKSWAGEN

Beberapa hari lalu dunia automotif kecoh tentang satu laporan mengenai penjualan atau penyenaraian awam (IPO) Lamborghini oleh Kumpulan Volkswagen.

Berita yang dikeluarkan Bloomberg pada Jumaat lepas mengatakan VW sedang bersedia untuk melepaskan Lamborghini kepada entiti berasingan bagi menumpukan perhatian kepada Volkswagen, Porsche dan Audi.

Khabar tersebut dilihat relevan kerana Fiat Chrysler Automobile telah memisahkan pegangan dan operasi Ferrari kepada satu organisasi berbeza dan diapung ke bursa saham pada 2016.

Jadi, adakah sahih laporan tersebut? Harap maaf, VW telah pun mengeluarkan kenyataan balas dan seperti dilaporkan oleh Reuters, jenama eksotik tersebut tidak akan diapung ke bursa saham atau dijual.

Mengukuhkan jawapan tersebut, wakil VW memaklumkan spekulasi itu tidak berasas.

Walaupun cara bisnes Ferrari dilihat menarik, Lamborghini perlu mengejar Ferrari terutama sekali di dalam angka jualan.

Sebagai perbandingan, jumlah pengeluaran Ferrari pada 2018 ialah sebanyak 9,251 unit manakala Lamborghini pula sebanyak 5,750 unit.

Meskipun jauh ketinggalan, Lamborghini sudah mula mengejar dan hasil sudah boleh dilihat melalui pencapaian separuh pertama 2019 dengan jualan sebanyak 4,553 unit.

Dari segi pegangan, Lamborghini adalah subsidiari kepada Audi yang dimiliki oleh Kumpulan Volkswagen. Menjadikan VW satu kumpulan automotif menarik apabila Ducati dimiliki oleh Lamborghini.

Susunan tersebut jelas berlapis dan begitu adalah cara Kumpulan VW beroperasi selain memiliki sejumlah jenama lagi seperti SEAT, Škoda, MAN dan Scania.

Arkitek kepada penguasaan Kumpulan VW ialah mendiang Ferdinand Karl Piëch, cucu kepada mendiang Ferdinand Porsche.

Kehebatan Kumpulan VW terserlah apabila Bentley, Bugatti dan Lamborghini dimiliki pada tahun yang sama iaitu 1998.

Kumpulan VW adalah pengeluar kenderaan terbesar dunia dengan jualan sebanyak 10,083,000 unit pada 2018 di hadapan Renault-Nissan-Mitsubishi dan Toyota.

BACA: KENAPA LAMBORGHINI TIADA TRANSMISI MANUAL MACAM PORSCHE?

BACA: LAMBORGHINI HURACAN STERRATO – SEDIA MASUK LALUAN OFF-ROAD

BACA: #BICARA TEKNIKAL: CARA MENUKAR MINYAK PELINCIR LAMBORGHINI AVENTADOR LP700-4

Google ads
Back to top button