
8 TAN BATERI KERETA DISITA, NILAI RAMPASAN LEBIH RM720,000
Pasukan Polis Marin (PPM) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat dua serbuan menerusi Op Hazard di negeri ini, semalam dengan menyasarkan pusat menyimpan bateri kereta dan sisa elektronik (e-waste) secara haram.
Premis di Penampang dan Sandakan itu diserbu selepas dipercayai dijadikan pusat penyimpanan barang lusuh serta e-waste tanpa lesen.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata hasil serbuan di Penampang, pihaknya merampas lapan tan bateri kereta yang disimpan secara tidak sah.
“Di Sandakan pula, pelbagai barangan e-waste turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer, mesin basuh serta barangan elektrik lain.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua premis gagal mengemukakan dokumen sah bagi aktiviti penyimpanan dan perniagaan barang lusuh serta sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semakan oleh LHDN juga mendapati terdapat premis yang tidak dapat mengemukakan dokumen percukaian yang lengkap.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM720,998,” katanya. – Berita Harian

