
ZEEKR 8X TERIMA 30,000 TEMPAHAN AWAL – KUASA 1,381HP, JARAK GERAK 1,416KM
Zeekr mengesahkan SUV plug-in hybrid terbaharunya, Zeekr 8X akan dilancarkan secara rasmi pada 17 April ini.
Menurut laporan, harga muktamad akan diumumkan dan beberapa varian dijangka terus tersedia untuk penghantaran kepada pelanggan.
Model ini sebelum ini dibuka untuk tempahan awal pada 16 Mac dan menerima lebih 10,000 tempahan dalam masa 38 minit, sebelum melepasi 30,000 tempahan dalam tempoh kurang 48 jam.
Harga pra-jualan diumumkan bermula 376,800 yuan (sekitar RM246,000) bagi varian Max hingga 516,800 yuan (sekitar RM338,000) untuk versi tertinggi Yaoying.

Turut ditawarkan ialah varian Ultra pada 396,800 yuan (sekitar RM259,000) dan Ultra+ pada 446,800 yuan (sekitar RM291,000).
Zeekr 8X dibangunkan menggunakan seni bina super hibrid Haohan-S dengan sistem elektrik voltan tinggi 900V.
Ia digandingkan dengan enjin 2.0 liter turbo khusus hibrid yang menghasilkan 205kW (275hp), bersama pilihan konfigurasi motor elektrik dwi atau tiga motor.
Penjana range-extender pula menghasilkan 145kW (194hp), manakala versi tiga motor mencatatkan kuasa gabungan sehingga 1,030kW (1,381hp).

Varian tiga motor itu mampu memecut 0-100km/j dalam 2.96 saat, sementara versi dwi motor mengambil masa sekitar 3.7 saat.
Bateri hibrid 70kWh berteknologi 6C memberikan jarak pemanduan elektrik penuh sehingga 410km (CLTC), dengan jarak gabungan mencecah 1,416km.
Sistem pengecasan pantas 900V pula membolehkan pengecasan dari 20% ke 80% hanya dalam kira-kira sembilan minit pada suhu normal.
Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 5,100mm panjang, 1,998mm lebar dan 1,780mm tinggi, dengan jarak roda 3,069mm.

Berat kenderaan melebihi 2.8 tan bergantung kepada spesifikasi. Ia turut dilengkapi casis digital Haohan AI dengan respons pantas 0.2 saat serta tork imbangan 1,400Nm, selain suspensi udara dwi-ruang bersama penyerap hentak elektromagnetik CCD.
Ketinggian badan boleh dilaras antara -30mm hingga +50mm, dengan kelegaan tanah maksimum 241mm.
Ujian moose menunjukkan 8X mampu mencapai 83.6km/j di permukaan kering dan 76.3km/j di jalan basah.
Sistem bantuan pemandu generasi baharu Qianli Haohan G-ASD turut diperkenalkan, menggunakan 43 sensor termasuk lima unit LiDAR serta cip berkembar Nvidia Drive Thor-U yang menyediakan kuasa pemprosesan sehingga 1,400 TOPS.
Ruang kabin ditawarkan dalam konfigurasi lima atau enam tempat duduk dengan tempat duduk boleh laras, skrin OLED belakang serta sistem audio Naim 29 pembesar suara. Ruang but pula berkapasiti 1,133 liter dan boleh diperluas sehingga 2,200 liter.
Dalam pasaran China, Zeekr 8X diletakkan dalam segmen SUV PHEV bersaiz pertengahan hingga besar.
Ia dijangka bersaing dengan model tempatan seperti Aito M8 dan Li Auto L8, selain alternatif import seperti Lexus RX dan Volvo XC90.
Sebahagian besar teknologi dan seni bina model ini turut diambil daripada Zeekr 9X yang telah mencatat lebih 33,000 penghantaran sejak dilancarkan pada September 2025.



