Buletin

MERCEDES G-CLASS LETAK EKZOS KAT TEPI SEBAB NAK GAYA?

Dalam dunia SUV mewah, Mercedes-Benz G-Class adalah satu anomali. Bentuknya kekal berkotak sejak puluhan tahun, bunyi pintunya masih seperti peti besi, dan walaupun harga sudah melambung ke tahap yang tak masuk akal, tapi asas kejuruteraannya masih berpegang pada falsafah lama iaitu lasak, mekanikal, dan kuat.

Tetapi ada satu elemen yang sering mencuri perhatian, terutama pada Mercedes-AMG G63 dimana ekzosnya tidak berada di belakang seperti kebanyakan kereta lain. Sebaliknya ia keluar di tepi, betul-betul di bawah pintu belakang.

Mungkin ramai yang beranggapan ia sekadar gaya. Tambahan pula untuk varian AMG yang memang terkenal dengan drama bunyi dan rekaan yang garang. Malah, ada juga yang mengaitkannya dengan faktor “departure angle”, kononnya untuk memastikan bahagian belakang kenderaan tidak terganggu ketika menuruni cerun curam.

Untuk memahami kenapa G-Class menggunakan susun atur ekzos sebegini, kita perlu kembali kepada asal-usulnya. Model ini bukan bermula sebagai SUV bandar, sebaliknya sebagai kenderaan utiliti untuk kegunaan ketenteraan.

Ini bermaksud setiap komponen direka dengan mengambil kira situasi off-road sebenar seperti laluan berbatu, lumpur tebal, dan juga sungai cetek. Dalam keadaan sebegini, kedudukan ekzos di belakang sebenarnya terdedah kepada risiko kerosakan.

Paip ekzos yang tergantung rendah boleh tersangkut pada batu atau tunggul kayu, dan dalam situasi meredah air, risiko kemasukan air ke dalam sistem ekzos juga lebih tinggi. Dengan meletakkan ekzos di bahagian tepi, risiko-risiko ini dapat dikurangkan. K

edudukannya yang lebih tinggi dan lebih dekat dengan badan kenderaan menjadikannya kurang terdedah kepada halangan di laluan off-road. Ia bukan sekadar soal kelegaan tanah (ground clearance), tetapi juga tentang memastikan komponen penting kekal berfungsi walaupun dalam keadaan ekstrem.

Faktor “departure angle” pula memang ada peranan, tetapi bukanlah pendorong utama kepada keputusan ini. Dengan tiadanya komponen ekzos yang tergantung di bahagian belakang, sudut pelepasan sememangnya menjadi lebih bersih dan praktikal ketika menuruni cerun.

Namun, hakikatnya banyak kenderaan pacuan empat roda lain masih mengekalkan ekzos di belakang tanpa menghadapi masalah besar. Ini menunjukkan bahawa faktor tersebut lebih kepada kelebihan tambahan, bukannya sebab utama reka bentuk ini diwujudkan.

Selain itu, susun atur casis G-Class yang menggunakan ladder frame turut mempengaruhi kedudukan ekzos. Rangka jenis ini, bersama sistem pacuan empat roda, 3 differential locks, dan komponen drivetrain yang kompleks, mengehadkan ruang di bahagian bawah kenderaan.

Menyalurkan paip ekzos ke bahagian tepi adalah penyelesaian yang lebih praktikal dari sudut kejuruteraan kerana ia mengelakkan pertindihan dengan komponen lain, di samping memudahkan proses pemasangan dan penyelenggaraan.

Namun begitu, dalam era moden, khususnya untuk Mercedes-AMG G63, elemen fungsi ini turut digabungkan dengan aspek emosi. Ekzos sisi ini bukan sahaja lebih praktikal, tetapi juga menghasilkan pengalaman bunyi yang lebih dramatik.

Kedudukannya yang lebih dekat dengan kabin menyebabkan setiap letupan enjin V8 lebih jelas didengar oleh pemandu dan penumpang. Ia bukan sekadar bunyi tetapi ia adalah sebahagian daripada identiti. Satu pernyataan bahawa kenderaan ini bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi sebuah mesin dengan karakter.

Kedudukan ekzos di tepi pada G-Class adalah hasil gabungan pelbagai faktor: keperluan off-road sebenar, kekangan reka bentuk casis, serta keinginan untuk mengekalkan identiti yang unik. Ia bukan sekadar gaya, dan bukan juga semata-mata kerana “departure angle” seperti yang sering disebut.

Sebaliknya, ia adalah contoh bagaimana fungsi dan karakter boleh bergabung dalam satu penyelesaian kejuruteraan yang kekal relevan walaupun dunia automotif semakin moden.

Google ads
Back to top button