
ACURA ZDX BAHARU – SUV ELEKTRIK SEPENUHNYA KINI TIBA
Penjenamaan model Acura ZDX sebelum ini sudah dikenali sebagai sebuah model SUV Coupe yang bergaya dan ranggi di pasaran Amerika Syarikat sebelum ini. Namun seiring dengan permintaan dunia moden masa kini, model baharu Acura ZDX akan diperkenalkan semula sebagai sebuah SUV elektrik sepenuhnya.
Model serba baharu ini telah dipertontonkan kepada umum sewaktu Monterey Car Week 2023, salah satu acara permotoran tumpuan dunia yang memperkenalkan model elektrik serba baharu ini. Model Acura ZDX baharu ini memberikan indikasi penting terhadap Acura di dalam pengenalan penting kenderaan elektrik sepenuhnya kelak.

Rekaan luaran dan dalaman Acura ZDX ini diketuai oleh pasukan di Acura Design Studio yang berpangkalan di Los Angele. Berpenampilan rendah dan lebar dengan siluet anggun, jarak roda yang panjang dan permukaan kontras yang tinggi sekali gus menampilkan imej yang cukup dinamik terhadap rupa Acura ZDX ini.
Bahagian fascia hadapan yang cukup sinonim dengan Acura kini diserlahkan dengan rekaan lampu DRL Chicane yang cukup ikonik serta lampu utama LED Jewel Eye dengan rekaan berlian 3D dengan limpahan cahaya yang cukup menyerlah.
Selain daripada rekaan rim bersaiz 22 inci di bahagian luar, layangan warna istimewa Double Apex Blue Pearl ini turut kelihatan cukup menyerlah, apatah lagi ianya turut dibekalkan dengan lencara Type S.
Menggerakan Acura ZDX ini adalah dua motor AWD (varian Type S) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 500 HP manakala untuk varian standard menggunakan motor tunggal dengan kuasa sekitar 340 HP.

Di bahagian kabin, skrin bersaiz 11 inci menjadi paparan meter kluster yang penting untuk pemandu memantau prestasi kenderaan. Manakala paparan skrin untuk infohiburan bersaiz 11.3, boleh menjadi panduan berguna buat pemandu apatah lagi ianya kini turut dilengkapi dengan sistem Google terbina dalam, dengan keupayaan untuk mencari jalan pulang dan juga stesen pengecasan berhampiran.
Untuk menghiburkan penumpang, sebuah sistem mewah, Bang & Olufsen turut dipasang berserta dengan 18 set speaker bagi menghasilkan bunyian yang mengangumkan.

Ciri keselamatan dan keselesaan turut telah dipasang seperti sistem suspensi udara yang boleh dilaras serta brek Brembo bersaiz 15.6 inci untuk pemberhentian maksimum. Mode pemanduan juga boleh dipilih untuk kesedapan pemandu.
Paling penting, sistem AcuraWatch 360+ turut tersedia untuk tujuan keselamatan meliputi sistem pemanduan bebas tangan.
Harga untuk Acura ZDX varian standard mungkin berada sekitar $60,000 (RM27,9150) manakala Type S dijangka pada harga $70,000 (RM325,675).


