" "
Artikel Pilihan

ADAKAH KERETA ANDA SELAMAT UNTUK MEREDAH BANJIR?

Taburan hujan lebat yang tidak boleh dijangka terutama ketika musim tengkujuh yang melanda kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan lain menyebabkan kejadian banjir kilat mudah berlaku. Malah penulis beberapa kali terpaksa melalui kawasan banjir kilat terutama di bandar Kuala Lumpur dimana sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan sempurna akan menyebabkan kawasan ini mudah dinaiki air.

Apakah risiko bila anda meredah kawasan banjir?

1. Air akan terpercik pada palam pencucuh menyebabkan risiko litar pintas dan enjin akan mati terutama pada kereta lama. Bagi kereta baru risiko ini sudah berkurang disebabkan penggunaan plug coil menghasilkan voltan tinggi untuk palam pencucuh. Bagi enjin disel, masalah ini tidak timbul disebabkan disel dibakar dengan konsep compression ignition

Jika enjin mati, biarkan air kering sebelum enjin dihidupkan semula

2. Air akan memasuki komponen mekanikal seperti wheel bearing, universal joint, bush sistem suspensi namun tiada masalah timbul dengan serta merta. Namun komponen ini akan cepat rosak berbanding dengan kereta yang tidak terdedah pada air banjir

3. Beberapa model transmisi dan differential kenderaan dilengkapi dengan lubang pengudaraan di bahagian atas untuk mengelakkan tekanan dalam sistem sewaktu operasi biasa. Jika air banjir melepasi lubang ini, besar kemungkinan air akan memasuki sistem dan cara paling bagus ialah dengan menukar semua cecair bendalir hidraulik selepas mengharungi air.

4. Kebanyakan kereta moden dilengkapi dengan beberapa komponen ECU bagi memastikan enjin dan transmisi berfungsi. Namun sesetengah model kereta, unit ECU ini dipasang di lantai kereta menyebabkan ia rosak jika terdedah dan tenggelam dalam air banjir

5. Beberapa lubang juga direka di bahagian cesi dan ditutup dengan getah namun jika anda meredah air banjir besar kemungkinan getah tadi tertanggal dan air boleh memasuki kereta menerusi lubang tersebut

6. Paling malang sekali jika anda tersalah anggar kedalaman air, air bah mula memasuki rongga kemasukan udara dan seterusnya ke enjin maka bersedialah untuk mengalami simptom enjin mati dan poket anda koyak rabak.

7. Jika kedapan getah di bahagian pintu tak cukup bagus, air akan memasuki menerusi pintu dan menyebabkan karpet lantai menjadi basah dan berbau jika tidak dikeringkan. Keadaan ini menyebabkan bahagian lantai akan menjadi berkarat

Keupayaan sesebuah kenderaan untuk meredah air sebenarnya bergantung pada wading depth yang telah ditetapkan oleh pengeluar. Biasanya nilai ini ditetapkan oleh pengeluar setelah mengambil kira semua kedudukan komponen elektronik yang dipasang pada kereta.

1. Toyota Hilux – merupakan antara kenderaan pacuan 4 roda popular disebabkan kelasakannya. Hilux dan kembarnya iaitu Fortuner terbaru berupaya meredah banjir pada kedalaman 700mm dimana nilai ini adalah sama bagi Nissan Navara dan juga Mitsubishi Triton.

2. Ford Ranger- satu-satunya model jenama Amerika yang diterima dengan baik di pasaran Malaysia selain Ford Mustar. Ranger berupaya meredah air banjir pada kedalaman 800mm tanpa masalah. Versi Raptor pula berupaya meredah air pada kedalaman 850mm

3. Toyota Rush/Perodua Aruz – walaupun tidak dinyatakan di laman sesawang Toyota, Top Gear Filipina melaporkan dengan jarak kelegaan 220mm antara permukaan jalan dengan cesi Toyota Rush mampu meredah air pada kedalaman 600mm. Kami mengaggarkan Perodua Aruz juga memiliki keupayaan yang sama.

4. Mitsubishi Xpander – Xpander datang dengan cesi monocoque namun memiliki jarak kelegaan dari permukaan jalan setinggi 225mm. Ia membenarkan Xpander meredah air pada kedalaman 400mm dengan selamat.

5. Land Rover Discovery – jika anda memang berduit, boleh cuba SUV mewah ini. Selain dari canggih, Discovery juga boleh meredah air pada kedalaman 600mm. Kurang sikit dari kenderaan 4×4.

6. Ford Ecosport – walaupun tidak lagi dijual, namun unit ini masih boleh didapati sebagai unit terpakai. Walaupun dikuasakan hanya dengan enjin 1500cc, ia berupaya meredah air banjir pada kedalaman 550mm

7. Volvo XC40- walaupun nampak seperti terlalu mewah untuk dibawa meredah air banjir, XC40 sebenarnya direka untuk meredah air pada kedalaman 450mm.

8. Perodua Myvi – serba boleh, menentang segala hukum fizik. Lepas siap Phd baru abam ulas

Google ads
Back to top button