Buletin

HONDA KEKAL NO. 1 DALAM SEGMEN BUKAN NASIONAL 6 TAHUN BERTURUT-TURUT. CATAT JUALAN 60,469 UNIT, CITY PALING LARIS

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa pihaknya telah mencapai jualan keseluruhan sebanyak 60,469 unit pada tahun 2020 dan mengekalkan kedudukan No. 1 dalam segmen bukan nasional untuk enam tahun berturut-turut. 

Jualan tersebut banyak disumbang oleh City yang merekodkan 34 peratus. Model kedua paling laris ialah Civic, diikuti oleh HR-V dengan 20 dan 17 peratus. 

City serba baharu mencatatkan jualan bulanan paling tinggi dalam sejarah dengan lebih 5,500 unit terjual pada Disember 2020. Dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2020. Sedan itu mendapat maklum balas positif daripada pasaran dengan lebih 15,200 tempahan setakat ini. 

Angka itu menjadikannya salah satu jumlah tempahan tertinggi untuk model baharu ang dilancarkan oleh Honda Malaysia pada separuh pertama 2020. Di antara Oktober dan Disember 2020, hampir 10,800 unit City telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara. 

V menjadi varian paling laris dengan 52 peratus. Permintaan tertinggi datang dari Wilayah Tengah yang menyumbang kepada 48 peratus jualan. Ia diikuti oleh wilayah Selatan (19 peratus) dan Utara (18 peratus). Warna putih mutiara menjadi pilihan utama pelanggan dengan mewakili 26 peratus jualan. 

“Walaupun tahun 2020 sangat mencabar, namun kami berjaya mengekalkan kedudukan No. 1 dalam segmen bukan nasional. City tidak pernah gagal mengagumkan pengguna di Malaysia.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021. 

“Ini membolehkan pengguna untuk membeli kenderaan dengan lebih banyak penjimatan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.  

Honda City generasi kelima tampil dengan rekaan yang sporty. Varian V dilengkapi lampu utama, lampu kabus, DRL dan lampu belakang LED. Rim bersaiz 16 inci menyempurnakan lagi penampilannya. 

Sedan tersebut dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork 145Nm yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Jentera itu juga dilengkapi paparan audio bersaiz 8 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Lebih menarik lagi, anda boleh menghidupkan enjin dari jauh dengan hanya menekan butang pada kunci (varian V dan E), teknologi pertama dalam kelasnya. 

Dari segi keselamatan, varian V dipasang dengan enam beg udara dan Honda LaneWatch. Ciri keselamatan lain yang ada termasuklah Vehicle Stability Assist (VSA), brek ABS, Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), ISOFIX jenis I-SIZE dan amaran tali pinggang keledar untuk penumpang belakang. 

Tidak ketinggalan, kamera undur multi-sudut untuk memudahkan urusan memarkir kenderaan. 

Maklumat lanjut atau ingin memandu uji model Honda, anda dijemput untuk mengunjungi mana-mana 102 pengedar Honda di seluruh negara, hubungi talian tol percuma 1-800-88-2020 atau layari  laman web: www.honda.com.my

Google ads
Back to top button