Buletin

ALETRA L8 MULA DIPASANG DI INDONESIA – LANGKAH AWAL UNTUK PASARAN EKSPORT SERANTAU

Jenama automotif tempatan, Aletra, kini mencatat sejarah tersendiri apabila memulakan pemasangan model sulung mereka, Aletra L8, di kilang PT Handal Indonesia Motor yang terletak di Purwakarta, Jawa Barat.

Perkembangan ini menandakan permulaan serius Aletra dalam membangunkan kenderaan elektrik (EV) yang bukan sekadar untuk pasaran domestik, malah untuk pasaran eksport serantau.

Sebagai jenama yang berakar di Indonesia, Aletra turut menyahut aspirasi kerajaan untuk memperkukuh rantaian bekalan tempatan.

Mereka menyasarkan untuk mencapai kadar Tingkat Komponen Dalam Negeri (TKDN) melebihi 40 peratus dalam beberapa tahun akan datang, satu komitmen yang penting dalam usaha memperkuatkan ekosistem EV di rantau ini.

Untuk memastikan produknya sesuai dengan keperluan pengguna di rantau Asia Pasifik, Aletra menjalinkan kerjasama strategik bersama Livan Auto, sebuah syarikat di bawah naungan kumpulan automotif ternama dunia, Geely Group.

Melalui kerjasama ini, Aletra L8 dibangunkan semula dengan konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD) serta beberapa penyesuaian dari segi dalaman dan luaran agar lebih relevan dengan citarasa pengguna di Indonesia.

Menariknya, varian RHD Aletra L8 hanya dipasang di Indonesia, menjadikan kilang tersebut sebagai hab utama untuk eksport ke negara-negara lain di Asia Pasifik yang menggunakan sistem pemanduan sebelah kanan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aletra, Andre Jodjana, pemasangan perdana model L8 merupakan langkah strategik dalam membina keupayaan teknologi EV di dalam negara.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap unit yang dihasilkan akan mematuhi piawaian kualiti yang ketat, memastikan aspek keselamatan, keselesaan, dan prestasi berada pada tahap terbaik.

Google ads
Back to top button