Buletin

VOLVO BUAT KEPUTUSAN DRASTIK, PECAT 3,000 KAKITANGAN!

Volvo Cars mengumumkan akan mengurangkan kira-kira 3,000 jawatan, kebanyakannya melibatkan kakitangan kolar putih, sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan yang dilancarkan bulan lalu.

Langkah ini dibuat bagi menangani tekanan kos operasi yang tinggi, permintaan kenderaan elektrik yang merosot dan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global.

Syarikat automotif dari Sweden itu kini berusaha mengembalikan keyakinan pelabur selepas sahamnya jatuh merudum.

Pelan penjimatan kos yang diumumkan April lalu menyasarkan penjimatan sebanyak 18 bilion kronor Sweden (RM8 bilion), termasuk pengurangan besar dalam tenaga kerja, iaitu sekitar 40 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat.

Ketua Eksekutif, Håkan Samuelsson, yang kembali memimpin selepas meninggalkan jawatan itu pada 2022, berkata pengurangan ini akan melibatkan hampir semua bahagian termasuk penyelidikan dan pembangunan, komunikasi serta sumber manusia.

Tambah Samuelsson, perubahan ini bukan sahaja akan menjimatkan kos tetapi juga membuka ruang untuk pekerja mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam organisasi.

Ketua Pegawai Kewangan baharu, Fredrik Hansson pula menjelaskan bahawa meskipun kesemua jabatan dan lokasi akan terkesan, sebahagian besar pengurangan akan berlaku di ibu pejabat syarikat di Gothenburg.

“Ia direka untuk menjadikan struktur operasi kami lebih efisien. Setiap aspek organisasi akan dikaji semula,” katanya.

Pengurangan ini mewakili sekitar 15 peratus daripada jumlah kakitangan pejabat syarikat itu dan dijangka menelan kos penstrukturan sekali sahaja sebanyak 1.5 bilion kronor.

Volvo Cars juga mengakui bahawa dengan kebanyakan pengeluaran tertumpu di Eropah dan China, syarikat kini lebih terdedah kepada risiko tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat, berbanding pesaing Eropah lain.

Malah, mereka memberi amaran bahawa eksport model-model lebih mampu milik ke pasaran AS mungkin menjadi tidak lagi berdaya saing.

Syarikat itu menyatakan bahawa pelan penstrukturan baharu dijangka dimuktamadkan menjelang musim luruh tahun ini.

Google ads
Back to top button