
CATL PERKENALKAN TEKNOLOGI CASIS ‘SKATEBOARD’ BAHARU
Contemporary Amperex Technology Co. Limited (CATL), gergasi bateri kenderaan elektrik (EV) dunia, kini melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan teknologi casis ‘skateboard’, satu langkah strategik yang boleh mengubah landskap automotif global.
Langkah ini terbukti menerusi kerjasama bersama Changan Mazda, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pengeluar untuk melancarkan EV mereka dengan lebih pantas dan kos efektif.
Casis pintar bersepadu CATL, dikenali sebagai CIIC (CATL Integrated Intelligent Chassis), menampilkan reka bentuk badan atas dan bawah yang diasingkan, modul subsistem boleh ubah suai, serta antaramuka piawai.
Reka bentuk modular ini bukan sahaja mempercepat pembangunan model baharu, malah membolehkan satu platform digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan.

Namun begitu, walaupun casis ini menjanjikan penjimatan masa dan kos, ramai pengeluar automotif tradisional masih berat hati untuk bergantung kepada teknologi luar, terutama bagi komponen kritikal seperti casis yang mempengaruhi prestasi, pengendalian, serta tahap keselamatan kenderaan.
Tetapi kerjasama CATL dan Changan Mazda memberi petunjuk bahawa arus sedang berubah. Projek bersama ini memfokuskan kepada pembangunan EV berkualiti tinggi dan selamat, sekali gus menjadi model industri untuk pendekatan “integrasi teknologi + pembangunan cekap”.
Setakat ini, teknologi casis skateboard banyak digunakan dalam pasaran khusus seperti kenderaan tanpa pemandu, kenderaan diubah suai, dan robotaxi.
Namun, untuk melonjak ke skala pengeluaran besar-besaran, CATL perlu menarik minat pengeluar besar yang masih mementingkan keunikan dan kawalan penuh ke atas produk mereka.

Cabaran utamanya? Menyeimbangkan antara penyeragaman platform dan keperluan penyesuaian mengikut jenama. Walaupun platform standard memudahkan pengeluaran, pengeluar sering menuntut pengubahsuaian mengikut reka bentuk dan prestasi tersendiri.
Menggabungkan casis ini dengan badan kereta konvensional juga menuntut penyelesaian kejuruteraan yang kompleks.
Keunggulan CATL dalam teknologi bateri memberi kelebihan besar kerana sistem tenaga merupakan komponen teras dalam casis pintar ini.
Namun begitu, banyak pengeluar kini membangunkan teknologi casis pintar sendiri yang diintegrasikan dengan sistem pemanduan autonomi, menjadikan persaingan semakin sengit.
Adakah CATL mampu meyakinkan dunia automotif bahawa masa depan EV terletak pada platform seragam dan pintar ini?
Masa akan menentukan, tapi satu perkara pasti, perlumbaan ke arah elektrifikasi kini lebih pantas dan lebih kompetitif berbanding sebelum ini.





