
YAMAHA BANGUNKAN SISTEM TURBO BAGI ENJIN CP3
Yamaha sedang membangunkan enjin CP3 dengan sistem turbo berdasarkan paten terbaru yang telah difailkan kilang Iwata itu baru-baru ini.

Perkembangan terbaru ini mengesahkan terdapat gerakan baharu dikalangan pengeluar motosikal Jepun selepas Honda turut mendedahkan V3 Concept tahun lalu ketika di EICMA.
Sama seperti Honda V3 Concept, teknologi turbo yang sedang dibangunkan adalah sistem electronic turbo (E-Turbo) dan bukannya turbo konvensional.

Paten yang difailkan Yamaha itu menunjukkan sebuah motosikal naked dengan rupa bentuk yang dikenal pasti sebagai MT-09. Walaupun ciri teknikal tidak didedahkan namun berdasarkan gambar rajah yang disertakan jelas menunjukkan posisi sistem e-turbo tersebut.
Sistem e-turbo dilihat sebagai usaha terbaru pengeluar dalam menangani peraturan emisi yang semakin ketat.

Persoalannya, mengapa e-turbo menjadi pilihan berbanding sistem turbo konvensional? Antara kelebihan e-turbo adalah saiz yang lebih kompak dan praktikal untuk diterapkan.
Selain itu, turbo konvensional berdepan beberapa kekangan antaranya penghasilkan haba yang tinggi dan turbo lag. Turbo lag adalah situasi dimana sistem turbo hanya akan menjana kuasa yang optimum ketika turbin di dalam turbo berada pada kelajuan tinggi.