Buletin

AUDI SQ8 E-TRON DAN SQ8 SPORTBACK E-TRON MENDARAT DI MALAYSIA – JANA 496HP, HARGA BERMULA RM519K

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini secara rasmi melancarkan dua model baharu ke dalam rangkaian kenderaan elektrik sepenuhnya iaitu Audi e-tron – SQ8 e-tron dan SQ8 Sportback e-tron.

Dibina di atas platform chasis elektronik MEB Evo, SQ8 e-tron mempunyai suspensi udara adaptif sport dengan kawalan redaman untuk roda depan dan belakang.

Menurutnya, ia berupaya mengadaptasi kondisi jalan yang berbeza serta menekankan aspek keselesaan dan kestabilan dapat dikekalkan sepanjang masa.

Dari penggayaan, ia hadir dengan rekaan bampar yang lebar dan lebih ekspresif, manakala panel arca roda dengan aliran udara telah dioptimumkan itu memberikan imej lebih maskular.

Sementara, bahagian belakang pula diserlahkan dengan peresap udara aerodinamik dan lampu LED memberikan karakter tersendiri pada waktu malam.

Selain itu, gril Singleframe yang menjadi ciri khas Audi (dengan lampu projektor) dipadankan dengan lampu utama jenis Digital Matrix LED.

Tambahan, SQ8 e-tron mampu menurunkan tahap pekali seretan (Cd) di antara 0.24 dan 0.27, bergantung kepada rekaan bentuk badan kenderaan.

SQ8 e-tron didatangkan dalam pilihan warna iaitu:

  • Magnet Gray
  • Ultra Blue
  • Chronos Gray
  • Mythos Black
  • Plasma Blue
  • Daytona Gray
  • Glacier White

Dimensi model-model SQ8 e-tron serupa dengan Q8 e-tron, tetapi oleh kerana rekaan badan kereta dan estetik lebih berorientasikan kepada sporty, model-model SQ8 e-tron adalah 2mm lebih rendah dan 40mm lebih lebar, dengan jarak roda (sama untuk kedua-dua varian) 2,928mm.

SQ8 e-tron menawarkan ruang penyimpanan barang sehingga 569 liter, manakala Sportback mempunyai ruang but seluas 528 liter.

Ciri-ciri lain pada bahagian luaran ialah angkup brek berwarna merah, perumah cermin sisi gentian karbon, rel bumbung hitam dan kemasan hitam lain untuk pakej plus.

Ia diserlahkan lagi melalui rim aloi Audi Sport lima jejari dengan gayaan ‘Interferenz’ bersaiz 22-inci berwarna Titanium Gray dan rekaan diamond-turned hadir sebagai ciri standard.

Menjengah ke dalam kabin, ia dilengkapi tempat duduk hadapan dibalut dengan kulit Valcona bersama logo “S”, kombinasi material kulit pada bahagian atas papan pemuka serta kemasan karbon dan aluminium di ruang bawah, termasuk dipertingkatkan lagi dengan ciri Ambient Lighting Package plus serta lampu LED pada pintu hadapan dan belakang.

Bukan itu sahaja, kelengkapan lain turut disertakan adalah seperti Audi Virtual Cockpit yang kini lebih berorientasikan kepada pemandu apabila panel instrumen diintegrasikan dengan papan pemuka.

Paparan Head-Up Display menjadi satu ciri standard untuk meningkatkan keselamatan ketika memandu selain dilengkapi dua paparan sentuh MMI dan sistem audio premium Bang & Olufsen 3D 16- unit pembesar suara berkapasiti 705 watts.

Secara mekanikal, SQ8 e-tron hadir dengan tiga unit motor tak segerak (asynchronous), dua unit dipasang pada gandar belakang untuk menggerakkan setiap roda secara berasingan.

Gandar hadapan dipacu oleh motor elektrik dengan hamburan kuasa 166hp, manakala gandar belakang pula, dua unit motor elektrik menjana kuasa 131hp secara berasingan.

Dalam mode boost, motor hadapan menghasilkan kuasa mencecah 210hp, manakala dua motor di belakang mampu menjana sehingga 185hp setiap satunya.

Secara keseluruhan, ia berupaya menjana kuasa 580hp tetapi output kuasa keseluruhan sistem tersebut dihadkan kepada 496hp menerusi pek bateri 114kWh.

Dari segi pecutan, model berkenaan mempunyai daya pecutan 0 ke 100km/j dalam masa 4.5 saat dan had kelajuan maksimum dihadkan pada 210km/j.

Bagi pengecasan,  SQ8 e-tron boleh mengendali bekalan pengecasan sehingga 170kW di poin pengecasan DC untuk tempoh pengecasan yang lebih singkat.

Tempoh pengecasan di poin pengecas pantas DC adalah sepantas 31 minit daripada 10% ke 80% (SoC) dengan jarak gerak WLTP sehingga 471km untuk SQ8 e-tron Sportback dan 458km bagi SQ8 e-tron.

Soket pengecasan juga boleh menerima 3 mode pengecasan AC standard yang menggunakan Wallbox di rumah atau stesen pengecasan awam.

Dengan pengecasan AC, masa yang diperlukan adalah sekitar 9 jam 15 minit hingga 11 jam 30 minit, bergantung kepada bekalan kuasa elektrik.

Selain itu, terdapat juga pengecas on-board yang membolehkan jentera ini dicaj sehingga 22kW daripada pengecas AC.

Bagi memudahkan pengguna, SQ8 e-tron mempunyai soket pengecasan tambahan di sebelah sisi kenderaan.

Ini akan membuatkannya lebih mudah untuk disambungkan di mana-mana stesen pengecasan di tepi jalan.

Pemandu juga boleh mengawal jadual pengecasan melalui Audi Multi Media Interface (Audi MMI) di dalam kereta.

SQ8 e-tron memiliki rangkaian sistem keselamatan pasif dan aktif, merangkumi kawalan jelajah adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan membelok dan melencong, serta bantuan lintasan trafik depan dan belakang.

Ciri keselamatan standard lain termasuklah  sistem beg udara SRS di sisi dan belakang, pakej keselamatan kanak-kanak dengan cagak tempat duduk ISOFIX, top tether, sistem pemantauan tekanan tayar serta  pakej Park Assist bersama ciri park assist plus.

Model berprestasi tinggi baharu di dalam rangkaian eletrik SUV dan crossover Audi Q8 e-tron itu ditawarkan pada harga bermula RM519,990 untuk SQ8 e-tron dan bermula RM529,990 bagi varian SQ8 Sportback e-tron.

Kedua-dua varian SQ8 e-tron boleh dibeli bersama pilihan Audi Assurance Package (AAP) yang menawarkan jaminan lanjutan kenderaan sehingga 5 tahun dengan penyelenggaraan berjadual secara percuma untuk 3 tahun pertama dan bantuan tepi jalan percuma bagi 5 tahun pertama.

Sistem bateri pula dilindungi secara berasingan menerusi jaminan selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000 km.

GALERI:

SQ8 e-tron

SQ8 Sportback e-tron

Google ads
Back to top button