Buletin

AUDI Q8 e-tron DAKAR EDITION - SUV EV PREMIUM DENGAN GAYA OFF-ROAD. SANGGUPKAH NAK PANDU MASUK KE HUTAN BELANTARA?

Apabila menyebut tentang SUV mewah, sudah pasti pada firasat kita ianya akan dipandu oleh bos – bos besar yang memandu ke pejabat pada setiap hari atau pun ke IKEA pada hujung minggu. Memang begitulah lumrah bagi sebuah SUV moden. Kalau nak masuk ke kebun, biasanya Hailak sudah semestinya menjadi pilihan.

Tapi ini ada sebuah SUV moden yang mahal, tapi dibuat dengan gaya off-road sebenar. Inilah dia Audi Q8 e-tron Dakar Edition, sebuah SUV premium EV dengan gaya off-road sejati. Untuk yang bertanya mengapa Audi memilih plat nama Dakar Edition, sebenarnya Audi juga turut beraksi dalam perlumbaan lasak Rally Dakar dengan menggunakan jentera Audi RS Q e-tron.

Audi Q8 e-tron ini secara asasnya masih lagi menggunakan model standard tetapi telah diberikan kerja tingkat taraf yang ekstensif di beberapa bahagian bagi menjadikannya cukup ideal sebuah Dakar Edition.

Paling ketara adalah penggunaan tayar tebal AT General Grabber AT3 yang menjadikan jarak titik lega dari permukaan kepada 206 mm bagi membolehkan ianya menempuh bentuk muka bumi yang mungkin sedikit lasak dan buas tanpa masalah. Menyerlahkan imej lasak tersebut adalah penggunaan kemasan cladding yang tidak kelihatan terlalu tebal.

Begitu juga dengan rak bumbung di bahagian atas dengan tayar simpanan serta bag yang diikat untuk membawa keperluan tambahan. Rak bumbung tersebu mampu menanggung beban sehingga 40 kg.

Pada bahagian hadapan, ianya menggunakan lampu LED Matrix bagi menerangi perjalanan malam hari dengan lebih terang serta mempunyai resolusi yang lebih tinggi. Pada bahagian cermin belakang tingkap sisi serta cermin belakang telah dikenakan pelindung matahari gelap yang didatangkan secara standard.

Satu ciri menarik yang ada pada SUV EV lasak ini adalah apabila pintu dibuka, paparan LED edition Dakar akan dilayangkan pada permukaan jalan untuk lebih rasa premium.

Audi Q8 e-tron Dakar boleh dipasang dengan pakej pelekat unik yang diilhamkan daripada model RS Q e-tron. Bermula dengan warna badan Mythos Black Metallic, SUV ini menerima hiasan tersebut pada sebahagian kenderaan. Model Istimewa ini adalah terhad kepada 99 unit sahaja dengan no siri tertera pada pilar D.

Bahagian kabin menampilkan ciri yang lebih premium meliputi tempat duduk dibalut upholsteri Dinamica juga kulit tiruan. Bahagian kabin yang kelihatan gelap ini dikontra dengan warna merah seperti jahitan di tempat duduk, perehat tangan serta tali pinggang untuk memberikan imej sporty.

Trenkuasa SUV ini masih lagi menggunakan pek bateri 106 kWh dengan pacuan quattro. Dua motornya mampu menghasilkan kuasa 300 kW serta 664 Nm. Walau pun dengan penggunaan tayar bersaiz besar, namun SUV EV ini mampu memecut dari 0 hingga ke 100 km/j hanya 5.9 saat sahaja. Jarak perbatuan mampu mencecah sehingga 487 km.

Harga yang dijangkakan adalah sekitar €120,000 (RM 609829).

BACA : PANDU UJI: AUDI Q8 E-TRON. SUV EV MEWAH YANG PASTI TIDAK MENGECEWAKAN

BACA : AUDI BAKAL PERKENAl EV BAHARU GANTI A3 – GUNA PLATFORM EV VOLKSWAGEN

Google ads

B K

Back to top button