
PANDU UJI: AUDI Q8 E-TRON. SUV EV MEWAH YANG PASTI TIDAK MENGECEWAKAN
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa jenama Audi mempunyai beberapa fakta cukup menarik di Malaysia. Pertama, ketika jenama itu berada di bawah naungan lebih 70 peratus pembelinya ialah terdiri daripada orang Melayu.
Serius lah? Saya pun baru tahu yang Audi sememangnya sangat diminati oleh orang Melayu berbanding bangsa-bangsa lain yang lebih cenderung memilih jenama seperti Mercedes-Benz, BMW atau Lexus. Tapi itu cerita dulu, sekarang nisbah pembeli kenderaan Audi di antara kaum dikatakan semakin setara.
Lagi satu perkara menarik ialah pembeli Audi terdiri daripada golongan kaya yang dikatakan lebih low profile. Malah, tidak kurang juga yang membelinya secara tunai atau dengan downpayment yang cukup tinggi. Memang different level orang kata.
Trivia-trivia itu sebenarnya saya peroleh ketika menyertai sesi pandu uji yang dianjurkan oleh PHS Automotive Malaysia (PHSAM) atau Audi Malaysia ke Ipoh baru-baru ini. Pandu uji kali ini nyata lebih istimewa kerana ia melibatkan barisan lengkap kenderaan elektrik (EV) yang ditawarkan oleh Audi iaitu e-tron GT Quattro, RS e-tron GT, Q8 e-tron dan Q8 Sportback e-tron.

Walaupun saya sempat memandu hampir kesemua model tersebut, namun saya ingin memperincikan pengalaman memandu SUV EV Q8 e-tron sahaja. Ini kerana model lebih berkuasa seperti e-tron GT Quattro dan RS e-tron GT akan saya nukilkan dalam satu lagi artikel lain selepas memandu uji kedua-duanya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Sebelum membuat pilihan, anda harus tahu bahawa Audi Malaysia menawarkan Q8 e-tron dalam empat varian yang dibezakan menerusi bentuk badan, kelengkapan ciri dan prestasi.
Harganya adalah seperti berikut:
- Q8 e-tron 50 quattro: RM383,990
- Q8 e-tron S line 55 quattro: RM474,990
- Q8 Sportback e-tron 50 quattro: RM389,990
- Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro: RM484,990
Bercakap tentang Q8 e-tron, satu perkara yang anda jangan tersalah sangka ialah ia tidaklah sebesar model Q8 yang dikuasakan oleh enjin petrol atau diesel itu. Q8 e-tron bukan sahaja lebih kecil, malah rekaannya dilihat kurang agresif tanpa garis-garis tajam berbanding model bukan EV.

Biarpun begitu, saya boleh kata bahawa Q8 e-tron sebuah SUV yang cukup cantik. Rekaan hadapan, tepi dan belakang nampak seimbang dan membuatkan sesiapa sahaja tahu bahawa ini adalah sebuah Audi moden.
Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu utama LED nipis bersama gril berbentuk heksagon yang hadir dalam warna kelabu atau hitam, bergantung kepada varian yang anda pilih.
Bercakap mengenai kuasa, Q8 e-tron digerakkan oleh dua unit motor elektrik bersama pacuan semua roda dikenali sebagai quattro. Motor elektrik tersebut mempu menjana kuasa sekitar 340PS dan tork 664Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100/kmj dalam masa cuma 6 saat.
Kalau anda memiliah varian Q8 e-tron S line 55 quattro pula, kuasanya adalah lebih tinggi iaitu 408PS dan tork 664Nm dengan pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam masa 5.6 saat. Sebagai sebuah jentera elektrik, anda boleh merasai kuasa tork secara serta-merta sebaik sahaja pedal ditekan.
Jadi, urusan untuk memotong kenderaan sama ada di atas lebuh raya atau di bandar cukup mudah dan meyakinkan.

Walaupun begitu berkuasa, anda tidak perlu bimbang dengan jarak yang mampu ditawarkan oleh Q8 e-tron. Ini kerana varian 50 yang dilengkapi pek bateri 95kWh boleh bergerak sejauh 491km tanpa sebarang masalah. Bagi varian 55 pula yang dipasang dengan pek bateri 114kWh pula, jaraknya lebih jauh iaitu sekitar 582km.
Dengan angka itu, sesiapa sahaja tidak perlu bimbang untuk memandu SUV ini untuk pergi balik kerja atau bercuti. Cuma, kalau destinasi yang ingin dituju itu jauh, anda perlu merancang lebih awal dari segi lokasi pengecasan dan sebagainya.
Namun, apa yang lebih penting ialah memandu EV sebenarnya mengajar kita agar lebih berdisiplin dan santai. Ini kerana kalau tekan sahaja sepanjang perjalanan, anda akan boleh lihat bateri susut dengan lebih cepat.
Pengalaman memandu Q8 e-tron ketika pergi dan balik dari Kuala Lumpur dan Ipoh sememangnya cukup menyenangkan. Saya langsung tidak berasa kekok kerana ruang dalaman jentera ini sama seperti kereta konvensional. Masih terdapat lagi butang-butang kawalan pada stereng dan konsol tengah, walaupun kebanyakan fungsi kenderaan perlu ditala menerusi skrin sentuh utama di papan pemuka.

Sebagai sebuah Audi, anda boleh mengharapkan kabin yang didatangkan dengan padanan material kulit, krom dan piano black itu sememangnya nampak serta rasa mewah. Cuma, anda memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan tombol gear yang hadir dengan reka bentuk agak berbeza berbanding tuil gear biasa.
Kalau ingin membawa banyak barang atau beg juga tidak perlu risau kerana ruang kargo belakang adalah luas. Masih belum cukup? Turunkan sahaja tempat duduk belakang dan cabut tonneau cover, ruang kargo berubah menjadi begitu luas dengan sekelip mata.
Berbeza dengan beberapa tahun lalu, jika anda ingin membeli sebuah EV sekarang, pilihan yang ada begitu banyak. Tetapi, jika anda mahu tampil bergaya, lebih low profile dan masih mahukan pengalaman memandu seperti SUV biasa, Q8 e-tron ialah EV yang wajib anda pertimbangkan.
- BACA: SELEPAS HAMPIR 26 TAHUN, SELAMAT TINGGAL AUDI TT!
- BACA: AUDI Q5 SPORTBACK, CROSSOVER PREMIUM TERBAIK JERMAN?
- BACA: MOON POWER KINI DI MALAYSIA. TAWAR WALLBOX UNTUK PELANGGAN E-TRON, PASANG AC DAN DC DI 3 AUDI CENTRE
- BACA: AUDI 50 LANGKAH KE HADAPAN, CIPTA RIM BAHARU GUNA AI
GALERI













