
AUTO BAVARIA, PERFORMANCE MOTORS ANJUR MOTOR EXPO TERBESAR, BERLANGSUNG 5-7 JUN INI
Penggemar jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad bakal menikmati pengalaman automotif yang lebih menyeluruh menerusi penganjuran Sime Motors MotorExpo 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun di Dewan A, XOX Arena, The Arch Galeries Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak.
Dianjurkan oleh Auto Bavaria bersama Performance Motors Malaysia, acara itu dianggap antara pameran terbesar pernah diadakan oleh kedua-dua pengedar premium berkenaan, menghimpunkan pelbagai model kereta dan motosikal di bawah satu bumbung.
Pameran yang dibuka secara percuma kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi pandu uji, pameran model terkini serta tawaran pemilikan eksklusif sepanjang acara berlangsung.
Mengangkat tema “Kereta dan Motosikal Terbaik. Tawaran Terbaik. Inilah Masanya untuk Memiliki BMW, MINI atau BMW Motorrad Impian Anda”, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat teknologi terkini dalam aspek prestasi, kemewahan dan mobiliti elektrik yang dibawakan oleh Kumpulan BMW.

Bagi segmen BMW, pelbagai model ditampilkan termasuk sedan mewah, Sports Activity Vehicle (SAV), kenderaan elektrik sepenuhnya serta model berprestasi tinggi daripada divisyen M.
Antara model yang dijangka menjadi tumpuan ialah BMW X3 30 xDrive M Sport yang ditawarkan bersama pelan ansuran bulanan bermula RM3,340 selain hadiah eksklusif Braun Buffel bernilai RM4,800.
Turut mencuri perhatian ialah BMW iX1 eDrive20L M Sport yang hadir dengan tawaran rebat istimewa serta kadar pembiayaan serendah 1.68 peratus melalui BMW Financial Services Malaysia.
Jenama MINI pula mempersembahkan sehingga 10 varian merangkumi model enjin pembakaran dalaman dan elektrik termasuk rangkaian John Cooper Works.
Model MINI Aceman Electric antara yang dijangka menarik perhatian pengunjung menerusi kadar pembiayaan khas serendah 0.88 peratus.
Selain itu, MINI Paul Smith Edition turut dipamerkan sebagai hasil kerjasama eksklusif dengan pereka fesyen terkenal Britain, menampilkan identiti dan rekaan yang unik.
Pembeli model MINI sepanjang acara juga berpeluang menikmati pelbagai ganjaran termasuk rebat tunai, fon kepala SONY bernilai RM1,999 serta pelekat eksklusif.
Dalam segmen dua roda, BMW Motorrad membawa barisan motosikal premium yang direka untuk kegunaan harian, pengembaraan dan tunggangan berprestasi tinggi.
Kemuncak acara dijadualkan berlangsung pada 6 Jun menerusi pelancaran rasmi BMW F 450 GS yang dinanti-nantikan peminat motosikal jenama itu.
Pengunjung turut berpeluang melihat secara dekat BMW Motorrad The Jahre Edition, sebuah model edisi khas yang dihasilkan sempena meraikan kerjasama selama 33 tahun antara Auto Bavaria dan BMW Motorrad di Malaysia.
Ketua Operasi Auto Bavaria, Wong Loke Win berkata, MotorExpo 2026 menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan rangkaian produk BMW Group di lokasi yang mudah diakses oleh pelanggan.
Menurut beliau, acara berkenaan bukan sahaja menawarkan peluang untuk meneroka model-model terkini, malah memberi kemudahan kepada pelanggan menikmati pelbagai pakej pemilikan menarik serta pengalaman pandu uji dalam suasana yang lebih interaktif.
Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pameran berkenaan sepanjang hujung minggu ini atau mendapatkan maklumat lanjut di bilik pameran Auto Bavaria yang mengambil bahagian.




