
CYCLE & CARRIAGE KINI KENDALI OPERASI PENGEDARAN LEAPMOTOR DI MALAYSIA
Kumpulan automotif Cycle & Carriage kini secara rasmi mengambil alih operasi pengedaran jenama kenderaan elektrik (EV) Leapmotor di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen mobiliti elektrik yang semakin berkembang di negara ini.
Langkah tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam kerjasama antara Cycle & Carriage dan Stellantis yang bermula pada tahun 2024, selain menandakan usaha berterusan syarikat itu untuk memperluaskan portfolio jenama automotifnya.
Pasaran EV tempatan dilihat terus berkembang pesat hasil peningkatan penerimaan pengguna, pertambahan kemudahan pengecasan serta minat yang semakin tinggi terhadap teknologi mobiliti moden.
Dalam situasi itu, Leapmotor yang berasal dari China dilihat mempunyai potensi besar untuk menarik minat pembeli yang mahukan kenderaan elektrik dengan teknologi terkini pada harga yang lebih mampu milik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, Adrian Short, syarikat itu melihat Malaysia sedang memasuki fasa baharu dalam penggunaan kenderaan elektrik apabila semakin ramai pengguna mencari model yang menawarkan gabungan teknologi pintar dan kepraktisan untuk kegunaan harian.
Beliau berkata, mobiliti elektrik bukan sahaja perlu dilihat sebagai aspirasi masa depan, malah perlu boleh diakses oleh lebih ramai pengguna. Justeru, Leapmotor diyakini mampu menawarkan nilai yang kompetitif dalam segmen EV premium mampu milik.
Pada masa sama, Cycle & Carriage berhasrat memastikan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan, termasuk dari aspek jualan, servis selepas jualan serta sokongan jangka panjang.
Sejak setahun lalu, syarikat itu telah memperluaskan rangkaian Leapmotor di beberapa lokasi utama termasuk George Town, Pulau Pinang, Pavilion Bukit Jalil di Kuala Lumpur dan Paradigm Mall di Johor Bahru. Selain itu, pusat 3S utama Leapmotor turut dibuka di Glenmarie, Selangor.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo, berkata pelantikan Cycle & Carriage sebagai pengendali operasi pengedaran Leapmotor di Malaysia mencerminkan hubungan kerjasama yang kukuh antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, pengalaman luas Cycle & Carriage dalam industri automotif, rangkaian perniagaan yang mantap serta pendekatan berfokuskan pelanggan akan membantu mempercepatkan pertumbuhan Leapmotor di pasaran tempatan.
Menerusi peranan baharu itu, Cycle & Carriage akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedar bagi memperluaskan kehadiran Leapmotor di seluruh negara, meningkatkan standard jualan dan perkhidmatan serta memperkukuh kemudahan selepas jualan.
Ketika ini, Leapmotor mempunyai 12 pusat jualan dan enam pusat servis di Malaysia, dengan beberapa lagi lokasi baharu dijangka beroperasi sebelum penghujung tahun ini.
- BACA: KLIMS 2026 TAMPILKAN PELBAGAI EV DAN TEKNOLOGI MOBILITI BAWAH SATU BUMBUNG
- BACA: “KERETA TIKTOK” BAKAL DILANCARKAN DI CHINA TAHUN INI, HASIL KERJASAMA SERES DAN BYTEDANCE
- BACA: CHERY SAMBUT ULANG TAHUN KE-3 DENGAN MEGA REWARDS! HARGA BERMULA SERENDAH RM80,800
- BACA: CUAI BAKAR SERAT POKOK, 20 KERETA ELEKTRIK MUSNAH SEKELIP MATA









