
TOYOTA UJI PIKAP KOMPAK BERASASKAN COROLLA CROSS, DEBUT DIJANGKA 2027
Toyota dilihat semakin hampir untuk menyertai segmen pickup unibody kompak apabila sebuah prototaip yang dipercayai berasaskan Corolla Cross dikesan menjalani ujian jalan raya di Brazil.
Kenderaan yang masih diselaputi pelekat penyamaran itu dirakam di lebuh raya sekitar Sao Paulo dan memperlihatkan reka bentuk yang jelas mengambil inspirasi daripada SUV Corolla Cross.
Bahagian hadapan kelihatan hampir sama dengan model asal, manakala bahagian belakang diubah sepenuhnya bagi menempatkan ruang kargo terbuka seperti sebuah pickup.
Berdasarkan imej yang tersebar, Toyota dipercayai memanjangkan struktur badan bagi menyesuaikan ruang muatan tersebut, dengan sebahagian besar pertambahan panjang tertumpu pada bahagian belakang.

Bahagian belakang pula menampilkan pintu tailgate bersaiz besar yang dipercayai dilengkapi pemijak terbina dalam. Lampu belakang kelihatan menggunakan reka bentuk melintang penuh, menyerupai pendekatan yang digunakan pada beberapa model Toyota terkini.
Kehadiran prototaip yang sudah bergerak di jalan awam menunjukkan projek itu berada pada tahap pembangunan yang agak matang. Pickup baharu ini dijangka menggunakan platform TNGA yang turut menjadi asas kepada Corolla Cross, namun dengan beberapa pengukuhan tambahan bagi menampung keperluan penggunaan sebagai kenderaan utiliti.
Apabila dilancarkan kelak, model tersebut bakal bersaing dengan beberapa pickup unibody popular di Amerika Selatan seperti Fiat Toro, Ram Rampage dan Chevrolet Montana. Ia juga akan berdepan pesaing baharu yang dijangka memasuki pasaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Dari sudut trenkuasa, laporan tempatan menyebut Toyota mungkin menawarkan enjin petrol 2.0 liter aspirasi semula jadi serta sistem hibrid 1.8 liter yang diambil daripada Corolla Cross.
Selain itu, terdapat khabar angin mengenai pembangunan versi plug-in hybrid (PHEV) yang turut menyokong bahan api fleksibel (flex-fuel) dan sistem pacuan semua roda E-Four.
Pengeluaran dikatakan akan dijalankan di kilang Sorocaba, Brazil dan Toyota dijangka memperkenalkan model pickup berasaskan Corolla Cross ini secara rasmi pada suku pertama tahun 2027.









