Artikel Pilihan

BERAPA PERATUS BAHAN API BERTAMBAH BILA KITA PASANG ROOF RACK DAN ROOF BOX PADA KENDERAAN?

Sesetengah kenderaan yang bajet dan murah memang tidak diberikan ruang kargo atau but yang besar seperti kereta kompak. Pada kebanyakan masa kereta kompak lebih sesuai dipandu di kawasan bandar berbanding dipandu untuk perjalanan jarak jauh seperti balik ke kampung yang memakan masa perjalan sehingga berbelas jam sewaktu musim perayaan.

Namun jika tiada pilihan lain, ruang kargo sebesar 100-300 liter ini perl disumbat dengan pelbagai barangan keperluan jika anda ingin bercuti atau pulang ke kampung. Jadi sebagai alternatif lain, kebanyakan pemandu atau pemilik kenderaan akan menjual kereta kompak mereka dan membeli kereta yang lebih besar.

Namun tindakan ini sebenarnya memberi beban tambahan pada kewangan pengguna dimana dengan kenderaan yang semakin besar, mereka perlu menanggung bayaran bulanan pada bank yang semakin tinggi, cukai jalan yang lebih mahal, insurance yang lebih premium serta kos penyelenggaraan yang lebih berbanding kereta kompak mereka.

Ini dibuat semata-mata bagi membeli kenderaan yang lebih besar untuk perjalanan jarak jauh. Tapi terdapat satu lagi alternatif lain yang boleh difikirkan oleh pengguna iaitu dengan memasang roof rail dan roofrack serta roofbock.

Semakan penulis pada jenama terkemuka mendapati roof box ini dijual dengan harga di bawah RM 1000 yang boleh dipasang pada kenderaan yang telah memiliki roof rail atau rel bumbung. Jika kenderaan anda tiada rel bumbung, maka kos pemasangan akan menjadi lebih mahal.

Roof rail ini membolehkan anda memasang roof rack dan roof box dengan penawaran ruang yang antara 300-600 liter bergantung pada saiz dan jenis kenderaan anda. Tapi mana lebih ekonomi, beli kereta baru yang lebih besar atau pasang roof box? Ini kerana dengan memasang roof box, penggunaan bahan api kenderaan anda akan bertambah

Menurut laporan Consumer Report, penggunaan roof rack dan roof box sememangnya akan menjejaskan penggunaan bahan api kenderaan anda. Kadar pertambahan bahan api ini sebenarnya bergantung kepada jenis kenderaan yang anda pandu samaada sedan, 4×4, MPV atau SUV.

Dalam kajian Consumer Report, mereka telah menguji sedan Nissan Altima 2019 dan SUV Toyota RAV4 2019 di atas lebuh raya pada halaju 104km/jam. Dalam keadaan tanpa roof rack dan roof box, Nissan Altima memberikan bacaan purata sekitar 20.4km per liter petrol.

Namun sebaik sahaja roof rack ditambah dan dipandu pada halaju yang sama, bacaan ini menurun kepada 18.3km per liter petrol (menurun 11%). Malah jika roof box telah ditambah, purata penggunaan petrol terus menurun kepada 16.5km per liter petrol (19% turun).

Ini bermakna, penggunaan bahan api meningkat sebanyak 19% dengan pemasangan roof rack dan roof box bagi sedan Nissan Altima. Bagi SUV Toyota RAV4, pemasangan roof rack hanya menyebabkan bacaan purata penggunaan bahan api menurun sebanyak 2% sahaja iaitu dari nilai 17.43km/liter kepada 17km/liter sahaja.

Apabila roof box dipasang, penggunaan bahan api menurun menjadi 15.3km/liter petrol atau menurun sebanyak 13% sahaja. Jika dibandingkan dalam peratus, pemasangan roof rack dan roof box kurang memberi kesan kepada SUV berbanding dengan sedan. Angka ini juga disokong oleh kajian Jabatan Tenaga Amerika yang menjalankan kajian pada tahun 2009

Antara dapatan daripada kajian ini ialah pertambahan komponen roof rack dan roof box akan menyebabkan beban yang dibawa oleh kenderaan semakin bertambah. Lebih banyak tenaga diperlukan untuk mengekalkan halaju kenderaan pada kelajuan malar di lebuh raya dan juga ketika memulakan perjalanan daripada keadaan statik (berhenti sepenuhnya)

Kajian juga merumuskan pemasangan roof rack dan roof box akan menyebabkan pergerakan udara menjadi kurang lancar di bahagian atas bumbung, menjadikan kenderaan semakin kurang aerodinamik ketika dipandu. Malah faktor halaju kenderaan akan memainkan peranan dalam penggunaan bahan api.

Dalam pengiraan daya seretan udara, faktor halaju adalah faktor utama dengan faktor halaju meningkat dalam kadar kuasa. Ini bermakna, daya seretan pada halaju 80km/jam adalah jauh lebih rendah berbanding pada halaju 120km/jam.

Jadi jika anda memasang roof rack dan roof box pada kenderaan anda, penggunaan bahan api akan meningkat sebanyak 19% pada kereta sedan dan 13% pada SUV. Selain menggunakan roof box yang lebih aerodinamik, satu-satunya cara anda mengurangkan penggunaan bahan api ialah dengan memandu lebih perlahan.

Kalau biasa anda memandu di lebuh raya pada 110km/jam, mungkin anda kena pandu pada halaju 100km/jam sahaja.

Google ads
Back to top button