Buletin

BMW UCAP SELAMAT TINGGAL 8 SERIES DENGAN SENTUHAN KLASIK M HERITAGE

BMW bakal menutup tirai perjalanan model 8 Series dengan sebuah edisi istimewa yang cukup memukau.

Model grand tourer mewah itu, yang dijangka menghentikan pengeluaran pada tahun depan, akan diraikan melalui Edisi M Heritage, terhad kepada hanya 500 unit sahaja di seluruh dunia.

Edisi ini diinspirasikan daripada generasi pertama 8 Series (E31) yang pernah dijual antara 1990 hingga 1999.

Untuk mengimbau semula era tersebut, BMW menawarkan pilihan lima warna klasik iaitu Bright Red, Mauritius Blue, Cosmos Black, Oxford Green, dan Daytona Violet, kesemuanya pernah menghiasi model asal tiga dekad lalu.

Selain warna ikonik, setiap unit M Heritage dilengkapi secara standard dengan bumbung gentian karbon yang dihiasi jalur tiga warna M, rim aloi 20-inci rekaan khas, serta pakej M Sport Professional.

Antara cirinya termasuk brek berprestasi tinggi, angkup hitam, dan kemasan luaran berwarna gelap untuk penampilan lebih agresif.

Bahagian dalamannya pula menampilkan gabungan sporty dan mewah. Tempat duduk M Sport dibalut kulit Merino hitam bersama jahitan corak berlian, manakala Alcantara meliputi pelapik bumbung, papan pemuka, dan panel pintu.

Kemasan gentian karbon matte serta jahitan tiga warna M menambah lagi eksklusiviti kabin. Plat pintu dan penutup pemegang cawan turut dihiasi ukiran khas “M850i Edition M Heritage” berserta nombor siri “1/500”.

Dari segi kuasa, ia mengekalkan enjin asal 4.4 liter V8 twin-turbo yang menghasilkan 523hp, dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan bersama pacuan semua roda xDrive. Hasilnya, pecutan 0-100 km/j dicatat sekitar 3.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

BMW juga menegaskan bahawa edisi ini hadir lengkap dengan semua ciri premium tanpa sebarang pilihan tambahan.

Sistem audio Bowers & Wilkins Diamond Surround Sound serta pakej Driving Assistance Professional sudah disertakan sebagai standard. Satu-satunya keputusan yang perlu dibuat pembeli hanyalah memilih warna kegemaran.

Dari segi harga, edisi khas ini ditawarkan pada AS$131,575 (sekitar RM597,000), termasuk caj destinasi AS$1,175 (kira-kira RM5,330).

Ia adalah lebih kurang AS$23,000 (sekitar RM104,000) lebih mahal berbanding M850i Gran Coupe biasa.

Pengeluaran akan bermula pada hujung tahun 2025, dengan penghantaran pertama dijangka pada awal tahun berikutnya.

GALERI:

Google ads
Back to top button