Buletin

HIMPUNAN RXZ MEMBER 7.0: POLIS SITA MOTOSIKAL JIKA LANGGAR UNDANG-UNDANG

Polis akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita motosikal yang melakukan kesalahan sepanjang perjalanan program Himpunan RXZ Member 7.0 2025 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, selama dua hari bermula Jumaat depan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, tahun ini pihaknya menjangkakan program berkenaan dihadiri kira-kira 100,000 pemilik motosikal berkenaan dari seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah itu berdasarkan rekod sambutan tahun lalu iaitu sebanyak kira-kira 60,000 motosikal.

“Polis nasihat dan ingatkan motosikal yang menyertai program ini tidak diubah suai dan mematuhi undang-undang jalan raya serta tidak membuat bising di tempat awam atau di kawasan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk menyitakan motosikal terbabit terhadap kenderaan yang menyalahi undang-undang dan peraturan jalan raya.

“Penunggang juga hendaklah sentiasa memastikan lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan tidak tamat tempoh,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, tahun lalu, sebanyak 89 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dan menyita 15 motosikal RXZ dan Yamaha Y15 kerana melakukan pengubahsuai yang tidak mematuhi undang-undang.

Beliau turut mengingat peserta supaya memastikan motosikal dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Menurutnya, pada program tahun lalu, sebanyak sembilan kemalangan direkodkan membabitkan tiga kemalangan maut masing-masing satu kes di daerah Marang, Dungun dan Kemaman.

Manakala, enam lagi kes mengakibatkan kecederaan (parah dan ringan) iaitu tiga kes di Kemaman, Dungun (dua) dan satu kes di Marang. – Harian Metro

Google ads
Back to top button