Buletin

LEXUS SPORT CONCEPT BAYANGAN MODEL BERPRESTASI LEXUS, GANTI LFA? BAGAIMANA DENGAN SUPRA?

Lexus Sport Concept merupakan bukti kepercayaan teguh kumpulan Toyota terhadap kereta berprestasi.

Kereta konsep ini bukan sekadar sebuah prototaip semata-mata, malah ia adalah petunjuk paling jelas mengenai hala tuju Lexus dalam arena kereta sport berprestasi tinggi.

Pelbagai pihak sudah mula membuat spekulasi bahawa ia bakal menjadi pengganti kepada model ikonik LFA.

Portal-portal automotif terkemuka seperti TopGear.com, CarandDriver.com, dan Motor1.com, telah melaporkan tentang Sport Concept ini.

Sebahagian daripada laporan tersebut mengaitkan potensi model ini sebagai penerus kepada semangat kereta sport berprestasi tinggi Lexus.

Malah, ada juga sumber lain yang secara langsung merujuknya sebagai pengganti kepada model ikonik LFA.

Dari Konsep Elektrik Kepada Visi Masa Depan

Lexus Sport Concept ini dipercayai merupakan evolusi lebih matang Electrified Sports Concept (ESC) yang diperkenalkan pada tahun 2021.

ESC merupakan sebuah konsep elektrik yang menjanjikan angka prestasi yang mengagumkan dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa sekitar dua saat, kuasa mencecah 1,000 bhp dan julat pemanduan sekitar 700 km.

Sekiranya Sport Concept ini benar-benar meneruskan legasi ESC, maka kita sedang melihat permulaan era baharu kereta sport elektrik yang berupaya menyaingi kereta hiper terkemuka dunia.

Lexus turut menyatakan bahawa konsep ini akan “memberi isyarat hala tuju reka bentuk Lexus,” dengan bentuk rendah, lebar dan dinamik yang menggabungkan elemen emosional dan praktikal yang bakal menarik perhatian.

Polemik Enjin: Elektrik atau V8?

Menariknya, terdapat sedikit perdebatan mengenai sumber kuasa sebenar Sport Concept ini.

Walaupun majoriti sumber dan kenyataan rasmi Lexus lebih cenderung ke arah elektrifikasi, laporan dari Motor1.com ada menyebut tentang potensi enjin V8 berkembar turbo dengan enjin di hadapan dan pacuan belakang.

Laporan ini juga mengaitkannya dengan pembangunan kereta lumba Toyota GT3.

Namun, memandangkan visi Lexus yang berorientasikan masa depan dan evolusi daripada konsep elektrik, naratif elektrifikasi dilihat lebih selari dengan hala tuju jangka panjang jenama ini.

Kemungkinan Lexus sedang meneroka kedua-dua pilihan, atau ini adalah petunjuk pelbagai versi yang akan datang.

Atau mungkin terdapat dua versi dengan masing-masing untuk Lexus dan Toyota?

Walau apa pun jawapannya, Lexus Sport Concept telah berjaya menarik perhatian dunia automotif. Ia bukan sekadar sebuah konsep, tetapi sebuah pernyataan berani daripada Lexus tentang apa yang bakal tiba.

Adakah ini benar-benar pengganti LFA yang lama dinantikan? Atau turut membayangkan Supra?

Google ads
Back to top button