Buletin

JUAL ASET MEWAH, RAWATAN MICHAEL SCHUMACHER TELAN RM36 JUTA SETAHUN

Sejak kemalangan ski yang menimpa Michael Schumacher pada tahun 2013, keluarga legenda Formula 1 itu terus menanggung kos rawatan yang dianggarkan mencecah sekitar €7 juta (RM36 juta) setahun.

Di bawah pengurusan isterinya, Corinna Schumacher, beberapa aset mewah keluarga telah dijual bagi menampung kos tersebut.

Antara yang dilepaskan termasuk jet peribadi, kediaman mewah, serta sebahagian koleksi jam tangan berharga.

Malah, jam tangan edisi istimewa yang pernah dihadiahkan kepadanya oleh Jean Todt turut dilelong di rumah lelongan Christie’s.

Bagaimanapun, laporan rasmi menegaskan keluarga Schumacher tidak berdepan masalah kewangan seperti yang digembar-gemburkan.

Nilai kekayaan mereka masih dianggarkan sekitar €500 juta (RM2.6 bilion), manakala nilai bersih Corinna sendiri pada tahun 2025 dilaporkan mencapai USD 600 juta (RM2.8 bilion).

Angka itu terhasil daripada perniagaan ternakan kuda CS Ranch, kejayaan dalam bidang sukan berkuda, serta pengurusan aset keluarga.

Terdapat dakwaan bahawa keluarga Schumacher hampir bankrap akibat penjualan aset tersebut adalah tidak benar.

Penjualan dilakukan bukan kerana tiada lagi harta untuk dijual, tetapi sebagai langkah praktikal, melepaskan aset yang jarang digunakan sambil menyusun semula kekayaan mereka, di samping menampung kos rawatan Michael yang tinggi.

Corinna juga kekal berpegang teguh terhadap prinsip melindungi privasi keluarga, khususnya berkaitan keadaan sebenar suaminya.

Dalam dokumentari rasmi Schumacher yang diterbitkan bersama Netflix pada September 2021, beliau pernah dipetik berkata:

“Michael selalu melindungi kita, sekarang giliran kami melindungi dia.”

Secara keseluruhannya, meskipun keluarga Schumacher berdepan cabaran besar sejak lebih sedekad lalu, kedudukan kewangan mereka masih kukuh.

Penjualan aset hanyalah sebahagian daripada strategi untuk memastikan rawatan jangka panjang Michael dapat diteruskan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan keluarga.

Google ads
Back to top button