Buletin

ROBERT KUBICA KEMBALI MERASAI FORMULA 1 DI VALENCIA

Masih ingat lagi akan pelumba Robert Kubica? Iya, bekas pelumba F1 ini kembali berpeluang untuk merasai pengalaman berada di kokpit kereta lumba F1 apabila menyertai sesi ujian persendirian bersama Renault Sport Formula One Team di Valencia. Beliau kembali memegang stereng F1 buat pertama kali setelah lebih enam tahun meninggalkannya.

BACA : NICO ROSBERG RAKAM SELFIE TERAKHIR DALAM JENTERA MERCEDES F1 W07 SEBELUM BERSARA

BACA : VALENTINO ROSSI HAMPIR JADI PELUMBA F1

Sewaktu sesi ujian yang telah berlangsung tanggal 6hb Jun 2017 yang lalu, Kubica telah melengkapkan sejumlah 115 pusingan dengan beberapa kondisi jumlah minyak yang diisi dalam tangki jentera milik Renault, Lotus E20, jentera F1 spesifikasi tahun 2012. Ironinya, di litar Valencia inilah beliau sempat menguji jentera Renault R31 buat pertama kalinya tanggal 2 Februari 2011 sewaktu ujian pramusim sebelum terlibat dengan kemalangan yang hampir meragut nyawanya sewaktu menyertai Rali di Andora dengan memandu Skoda Fabia S2000.

Robert Kubica yang mula menyerlah dalam F1 sewaktu menyertai BMW Sauber F1 Team selama beberapa musim sebelum di sambar Renault pada tahun 2010 telah beberapa kali menaiki podium kemenangan. Selain daripada berlumba F1, beliau juga sebetulnya turut meminati arena rali dan telah bertanding dalam ERC dan juga WRC setelah pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

Menurut Kubica, beliau yang telah membuat persiapan hampir setahun lamanya untuk kembali menjalani ujian ini memberikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjadikan ianya sebagai suatu kenyataan. Kata orang, perasaan bercampur baur turut dirasai oleh pelumba kelahiran Poland ini. Ironinya juga pasukan Renault jugalah yang telah memberikan Kubica peluang pertama kali mencuba jentera F1 pada tahun 2005 bersama pasukan Mild Seven Renault F1 Team sebagai Pemandu Ujian.

Menurut Alam Permane, Pengarah Sukan bagi pasukan Renault, acara sehari ini sememangnya khusus dibuat untuk Robert Kubica sebagai tanda sokongan kepada beliau dalam proses pemulihan setelah terlibat dalam kemalangan dan sebagai tanda sokongan kepada bekas pelumba pasukan mereka.

Walaupun rasanya karier beliau dalam bidang F1 seakan berakhir, setidaknya peluang kembali memandu jentera F1 dapat mengubati perasaan rindu untuk menukar gear dengan satu tolakan jari sahaja. Khabarnya juga beliau mungkin akan mengambil bahagian dalam New York ePrix pada Julai nanti, sebuah perlumbaan yang mengeluarkan bunyi seakan bunyi kereta kawalan jauh. Tak enak langsung bunyinya. Haih!

Sumber : Newspress

Google ads

B K

Back to top button