
NIKE DIJANGKA KEMBALI KE FORMULA 1 SELEPAS LEBIH 20 TAHUN
Nike dilaporkan sedang meneroka peluang untuk kembali ke kejuaraan Formula 1 (F1), lebih dua dekad selepas menamatkan penglibatan besarnya dalam sukan permotoran itu.
Menurut laporan Sports Business Journal, jenama sukan Amerika Syarikat itu sedang meneliti peluang penajaan dan pelesenan, termasuk kemungkinan membekalkan pakaian rasmi kepada Formula One Management (FOM).
Wakil eksekutif Nike juga dilaporkan menghadiri Grand Prix Miami, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai potensi kerjasama tersebut.
Perkembangan itu berlaku selepas Alexandre Arnault menyertai lembaga pengarah Nike pada pertengahan September lalu. Beliau turut memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Moët Hennessy, cabang perniagaan wain dan minuman keras di bawah kumpulan mewah LVMH.
LVMH sendiri mempunyai kerjasama selama 10 tahun dengan F1 yang bermula pada 2025. Hubungan berkenaan menimbulkan spekulasi bahawa Nike mungkin melihat peluang komersial menerusi populariti global kejuaraan itu yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai sebarang perjanjian antara Nike dengan FOM.
KERJASAMA IKONIK BERSAMA MICHAEL SCHUMACHER

Nike pernah mempunyai hubungan rapat dengan F1 menerusi legenda Ferrari, Michael Schumacher, yang menandatangani perjanjian penajaan peribadi dengan jenama itu pada 1996.
Kerjasama tersebut menyaksikan Nike menghasilkan kasut khas untuk pelumba Jerman berkenaan, termasuk rekaan suede merah dengan aksen hitam dan logo Swoosh putih.
Kasut itu kemudiannya menjadi sebahagian daripada koleksi Nike Air Zoom Schu yang ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu putih, hitam dan biru.
Setiap kasut menampilkan elemen menyerupai gentian karbon serta tanda tangan Schumacher pada bahagian sisi. Nike turut menghasilkan kasut perlumbaan yang memenuhi piawaian Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Schumacher dilaporkan begitu menggemari kasut berkenaan sehingga pasangan baharu dibekalkan pada setiap hujung minggu perlumbaan. Model tertentu kini menjadi barangan koleksi bernilai tinggi dalam pasaran kasut terpakai.
Namun, penglibatan besar Nike dalam F1 berakhir pada 2002 apabila Ferrari memilih FILA sebagai pembekal kasut untuk Schumacher dan rakan sepasukannya, Rubens Barrichello.
Sejak itu, Nike tidak lagi mempunyai kehadiran besar secara berterusan dalam paddock F1.
CADILLAC TURUT DIKAITKAN
Selain kemungkinan kerjasama dengan FOM, Nike turut dikaitkan dengan pasukan Cadillac yang bakal menyertai F1.
Spekulasi itu tercetus selepas beberapa pemandu pasukan berkenaan dilihat memakai kasut Nike. Ketua Pegawai Eksekutif Cadillac F1, Dan Towriss, dan isterinya yang juga penasihat jenama, Cassidy Towriss, turut dilaporkan menerima kasut Dunk Low edisi khas keluaran Nike.
Bagaimanapun, perkembangan itu belum mengesahkan kewujudan perjanjian penajaan rasmi antara kedua-dua pihak.
Grand Prix Las Vegas disebut-sebut sebagai antara kemungkinan pentas untuk perkembangan lanjut mengenai rancangan Nike kembali ke F1, namun perkara itu masih belum disahkan secara rasmi.





