
TOYOTA HIGHLANDER BEV 2027 DIDEDAHKAN – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 515KM
Toyota akhirnya membawa nama Highlander ke era elektrik sepenuhnya apabila memperkenalkan Highlander BEV baharu bagi tahun model 2027, lengkap dengan tiga baris tempat duduk.
SUV yang pernah menjadi pilihan utama keluarga muda ini kini tampil dengan pendekatan baharu selepas jualannya merosot ketara sejak pengguna mula beralih kepada Grand Highlander yang lebih besar dan mewah.
Highlander pernah mencatat kemuncak jualan lebih 264,000 unit pada 2021, namun angka itu jatuh mendadak kepada sekitar 56,000 unit pada 2025.

Justeru, Toyota mengambil keputusan drastik, menamatkan terus enjin pembakaran dalaman dan versi hibrid, menggantikannya dengan rangkaian elektrik sepenuhnya.
Sejak dilancarkan pada tahun 2000, Highlander dikenali sebagai crossover unibody yang lebih selesa dipandu berbanding SUV berasaskan casis trak.
Kemunculan varian hibrid suatu ketika dahulu turut menjadikannya antara model paling menarik dalam segmen keluarga. Kini, era baharu bermula apabila Highlander hanya bergantung kepada bateri sepenuhnya.
Model ini menjadi sebahagian daripada strategi EV Toyota yang semakin berkembang, bersama CH-R elektrik, bZ, dan bZ Woodland.

Untuk pengguna yang masih mahukan hibrid atau enjin konvensional, Toyota masih menawarkan pilihan seperti Corolla Cross atau Grand Highlander.
Highlander BEV 2027 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu XLE dan Limited, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau semua roda.
Versi AWD menggunakan dua motor elektrik dengan kuasa maksimum 338hp serta tork 332 lb-ft, manakala versi FWD menghasilkan 221hp dan tork 198 lb-ft.
Bagi jarak pemanduan, Toyota menyediakan bateri 95.8kWh yang mampu memberikan anggaran sehingga 515km bagi varian pacuan hadapan XLE.

Terdapat juga pilihan bateri 77kWh yang menawarkan jarak sekitar 462km (FWD) atau 435km (AWD).
Dari segi reka bentuk, Highlander BEV tampil lebih tegap dengan gaya lebih berkotak dan proporsi seperti SUV besar.
Ia dibangunkan menggunakan platform TNGA-K yang turut digunakan oleh Camry, Sienna serta model Lexus RX dan NX.
Dimensinya kini lebih lebar, lebih rendah sedikit, dan jarak roda dipanjangkan hampir satu kaki bagi memberi ruang kepada tiga baris tempat duduk.

Bahagian kabin pula dipenuhi teknologi moden termasuk skrin sentuh 14.3-inci, paparan pemandu digital 12.3-inci, pad pengecasan tanpa wayar Qi berkembar, port USB di seluruh ruang dalaman, serta pilihan 64 warna pencahayaan ambien. Toyota juga mengekalkan butang fizikal untuk kawalan suhu dan audio bagi memudahkan penggunaan.
Satu ciri unik ialah pilihan aksesori bi-directional yang membolehkan kenderaan ini membekalkan kuasa kepada peranti luar, malah boleh digunakan untuk menyokong keperluan rumah ketika gangguan elektrik.
Toyota menjelaskan pengeluaran EV akan bergantung kepada permintaan pelanggan, menjadikan sambutan pasaran faktor utama hala tuju model elektrik mereka selepas ini.
Harga rasmi Highlander BEV akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh jualan pada penghujung 2026.

