
BYD MASUK PASARAN K-CAR JEPUN, SUZUKI ANGGAP SEBAGAI ANCAMAN BESAR!
BYD mencuri tumpuan di Tokyo Motor Show 2025 apabila memperkenalkan model Racco, kereta mini (K-Car) pertama jenama China itu untuk pasaran Jepun.
Langkah ini menandakan kemasukan BYD ke dalam segmen kenderaan kecil yang amat popular di negara tersebut, sekaligus menarik perhatian pengeluar tempatan termasuk Suzuki Motor Corporation.
Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki, mengakui kemunculan BYD dalam segmen berkenaan sebagai perkembangan besar dan berkata ia bakal mencetuskan persaingan baharu dalam industri automotif Jepun.
“BYD memilih untuk menyertai piawaian K-Car Jepun, dan itu sesuatu yang menarik. Tapi ini juga bermaksud persaingan baharu sudah bermula,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa walaupun melihat peluang untuk saling belajar antara kedua-dua pihak, BYD tetap dianggap sebagai “ancaman besar”, terutamanya apabila pengguna Jepun kini semakin terbuka terhadap produk dari China.
Sementara itu, Pengurus Besar Jualan Automotif BYD Asia-Pasifik, Liu Xueliang, menegaskan bahawa strategi BYD di Jepun bukan untuk menyaingi jenama tempatan secara langsung.
“Kami tidak datang untuk bersaing dengan pengeluar Jepun,” katanya. “Matlamat kami adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna Jepun agar mereka bebas memilih jenama yang mereka suka.”
Walaupun BYD sudah dua dekad bertapak di Jepun melalui sektor lain, jenama itu hanya secara rasmi memasuki pasaran kenderaan penumpang pada Julai 2022.

Sejak itu, BYD memperkenalkan beberapa model elektrik penuh seperti Atto 3, Dolphin, Seal dan Sealion 7, dengan jualan kumulatif mencecah 7,123 unit setakat Oktober 2025.
Menurut Liu, prestasi tahun ini sudah pun mengatasi jumlah jualan tahun sebelumnya dalam tempoh sembilan bulan pertama.
“Pertumbuhan kami kekal positif, walaupun kadar pengembangannya dijangka lebih stabil daripada mendadak,” katanya sambil menambah bahawa pendekatan perlahan tetapi berstruktur ini membantu BYD memperkukuh asas operasinya di Jepun.
Kategori K-Car, kenderaan kecil dengan enjin di bawah 660cc, mewakili kira-kira 40 peratus daripada jumlah pasaran automotif Jepun, dengan nilai jualan tahunan sekitar AS$18 bilion.
Model paling popular tahun ini kekal Honda N-Box, diikuti oleh Suzuki Spacia, Daihatsu Move, Daihatsu Tanto, dan Suzuki Hustler.
Dengan kehadiran BYD dalam kategori ini, nampaknya dominasi jenama Jepun bakal berdepan saingan yang semakin mencabar di masa depan.








