
RASMI: SUZUKI GSX-8T, GSX-8TT KINI DI MALAYSIA – DARI RM59,600
Suzuki Malaysia dengan rasminya melancarkan motosikal retro terbaru menerusi Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT untuk pasaran tempatan masing-masing ditawarkan dengan harga jualan RM59,600 dan RM63,600.
Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT menggabungkan pengayaan retro dengan teknologi moden bagi segmen pertengahan.

Menurut Suzuki, 8T mengambil inspirasi dari model era 60-70an antaranya Suzuki T500 sementara 8TT pula diilhamkan dari Yoshimura GS1000.
Kedua-duanya dipacu platform parallel-twin 776cc dengan 270-degree crank dengan DOHC dan empat valve bagi setiap silinder. Enjin tersebut ditempatkan dalam casis jenis twin-spar steel frame dengan subframe berasingan.

Pakej elektronik pula merangkumi traction control, power mode, quickshifter (atas/bawah) dan skrin TFT berwarna penuh.
Antara keunikan 8T dan 8TT adalah reka bentuk tangki, tempat duduk, handlebar dengan bar-end mirror. Sementara itu, 8T menawarkan reka bentuk lampu hadapan berbentuk bulat dengan pencahayaan LED manakala 8TT hadir dengan panel lampu hadapan.

Menariknya, reka bentuk kedua-dua model ini adalah hasil tangan pereka di Itali sebelum diperkemas di Jepun. Tangki 8T dan 8TT menawarkan kapasiti 16.5L yang bersambung dengan pelindung radiator yang menampilkan lencana GSX8. Selain itu, 8TT juga dibezakan dengan kehadiran belly-pan.
Atas kertas, Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT menawarkan 82hp pada 8,500rpm dan 78Nm pada 6,800rpm. Sistem pembakaran 270-degree crank pula menghasilkan karakter seperti enjin V-Twin.

Seperti model 800cc lain, enjin ini juga dilengkapi dengan Suzuki Cross Balancer yang bertujuan mengurangkan gegaran.
Pakej suspensi pula terdiri dari fork USD dari KYB berwarna emas pada 8T dan serba hitam pada 8TT. KYB turut membekalkan penyerap hentak di bahagian belakang.

Brek pula dikendalikan cakera berkembar 310mm depan dengan kaliper brek radial Nissin dan 240mm belakang dengan kaliper brek satu piston.







