Motosikal

SUZUKI SV-7GX BAKAL DEBUT DI EICMA 2025?

Pasaran motosikal terbesar dunia, EICMA 2025 bakal membuka tirai minggu ini dengan pengeluar motosikal dunia berkejar-kejar untuk melancarkan barisan model baharu bagi tahun 2026. 

Antara jenama yang akan membuat penampilan adalah Suzuki yang setakat ini tidak pernah gagal memperkenalkan model baharu. 

*Suzuki SV650

Berdasarkan maklumat, Suzuki didakwa bukan setakat melancarkan  model serba baharu malah turut akan memperkenalkan platform V-Twin 700cc baharu menggantikan platform V-Twin 650cc sedia ada. 

Pelancaran enjin baharu itu sudah pun dijangka apatah lagi platform V-Twin 650cc yang ketika ini menggerakan SV650 dan V-Strom 650 tidak lagi mencapai standard emisi Euro 5+ terbaru. 

Namun begitu, memandangkan permintaan bagi enjin V-Twin masih tinggi maka relevan untuk Suzuki mengekalkan konfigurasi enjin tersebut meskipun sudah memperkenalkan enjin parallel-twin 776cc yang terdapat pada V-Strom 800, GSX-8S, GSX-8R dan GSX-8T serta GSX-8TT. 

Dalam pada itu, nama SV-7GX pula muncul di laman web rasmi Suzuki secara tidak sengaja baru-baru ini. Meskipun info lain tidak didedahkan namun nama tersebut sudah cukup memberitahu beberapa perkara. 

Pertamanya, SV merujuk kepada jenis model dan berdasarkan SV650, hampir pasti SV-7GX merujuk kepada trenkuasa V-Twin. Seterusnya angka 7 merujuk kepada sesaran enjin dan berkemungkinan besar merupakan 700cc sementara GX pula hampir pasti adalah rujukan kepada jenis motosikal. 

*Suzuki GSX-S1000GX

Ini kerana Suzuki ketika ini menawarkan GSX-S1000GX yang merupakan motosikal crossover sport-touring dan SV-7GX berkemungkinan besar merupakan model yang mengisi segmen ‘middleweight’. 

Apa pun segalanya akan terjawab minggu ini. 

Google ads
Back to top button