Buletin

CARLOS SAINZ MEMBUAT KEMUNCULAN SEMULA DI PENTAS ERC

Pemandu lagenda dalam sukan rali, Carlos Sainz telah membuat pengumuman yang mengejutkan apabila mengumumkan beliau akan kembali semula ke sukan rali untuk membuat kemunculan semula dalam perlumbaan pembuka tirai kalendar FIA European Rally Championship (ERC) di bumi sendiri Sepanyol, kira- kira 36 tahun selepas kali terakhir beliau beraksi pentas yang serupa.

Carlos Sainz, 63 tahun yang sebelum ini memandu jentera Ford Raptor T1+ untuk pasukan Ford dalam kejohanan FIA World Rally-Raid Championship akan menukar daripada jentera yang buas tersebut kepada jentera Ford Fiesta Rally2 untuk perlumbaan pembuka tirai ERC di 42nd Rally Sierra Morena – Córdoba Patrimonio de la Humanidad.

Carlos Sainz sebetulnya bukanlah nama asing dalam kejohanan ERC sendiri. Untuk rekod, Carlos Sainz pernah memenangi 24 perlumbaan ERC sebelum beraksi di pentas FIA World Rally Championship (WRC) dengan berjaya memenangi dua kali tahta WRC dan 26 kemenangan pentas WRC sepanjang kerjaya beliau.

Carlos Sainz akan berpasangan bersama Juruarah Jon Amstrong dengan memandu jentera yang akan disediakan oleh pasukan M-Sport Ford dan khabarnya ini sebenarnya merupakan kemunculan sekali sahaja dalam kejohanan ERC musim ini.

Menurut Iain Campbell selaku Pengurus ERC, perkhabaran kemunculan semula sang lagenda Carloz Sainz ini cukup mengujakan apatah lagi untuk beraksi semula di perlumbaan di bumi Sepanyol sendiri.

“Terdapat beberapa cabaran logistik dan pentadbiran yang perlu diatasi tetapi untuk mempunyai salah seorang pemandu rali terhebat dunia sepanjang zaman bersaing pada pusingan pertama musim ERC 2025 akan menjadikan semuanya berbaloi,” ujar Iain Campbell.

Untuk aksi di 42nd Rally Sierra Morena – Córdoba Patrimonio de la Humanidad ini, Carlos Sainz telah mendaftar untuk beraksi dalam kelas FIA Master ERC Championship yang mana akan turut menampilkan bekas pemandu F1, Jos Verstappen antara nama yang turut beraksi dalam kelas yang sama.

Perlumbaan 42nd Rally Sierra Morena – Córdoba Patrimonio de la Humanidad membabitkan lokasi di Córdoba bermula pada 3 hingga 6 April ini.

Kredit Foto : ERC

BACA : JOS VERSTAPPEN UMUMKAN MAHU BERAKSI DALAM KEJUARAAN ERC 2025. BOLEH MENANGKAH?

BACA : ERC 2024 – ANDREA MABELLINI MENANG DI POLAND. HAYDEN PADDON JUARA ERC DUA KALI BERTURUT – TURUT!

Google ads

B K

Back to top button