
JOS VERSTAPPEN UMUMKAN MAHU BERAKSI DALAM KEJUARAAN ERC 2025. BOLEH MENANGKAH?
Bekas pemandu Formula 1, Jos Verstappen telah mengumumkan bahawa beliau akan mengambil bahagian dalam perlumbaan rali FIA European Rally Championship (ERC) bagi musim 2025.
Jos Verstappen yang berusia 52 tahun ini adalah bekas pemandu Formula 1 sebanyak 106 kali berlumba di grid sewaktu zaman kemuncaknya dengan pernah mewakili pasukan seperti Bennetton, Arrows dan juga Minardi juga pernah beraksi dalam sukan rali lebih kurang tahun yang lalu. Untuk yang tidak tahu, beliau adalah ayah kepada juara Formula 1 Max Verstappen.
Pun begitu, untuk aksi ERC 2025 ini, Jos Verstappen menyatakan tujuan awalnya adalah untuk mencari pengalaman terlebih dahulu daripada mencari masa terpantas walau pun mempunyai nama yang besar dalam sukan permotoran.

Dan untuk aksi di ERC 2025, pelumba berasal dari Holland itu dijangka beraksi penuh dengan mengambil bahagian dalam lapan perlumbaan untuk kalendar musim ini disamping beraksi dalam kejuaraan rali di Belgium. Menurut Jos Verstappen, beliau memilih untuk menyertai kejuaraan ERC atas faktor mahu meningkatkan tahap disamping kejuaraan ini mempunyai persaingan yang baik.
Malah kejuaraan ERC yang lebih pendek hanya lapan pusingan dilihat lebih sesuai dengan beliau berbanding WRC yang lebih panjang dan pastinya memerlukan kos yang lebih banyak.
Untuk buat permulaan, Jos Verstappen tidak membayangkan diri beliau akan berada di hadapan hatta untuk berada dalam senarai 10 terbaik sekali pun. Tetapi yang paling penting buat beliau adalah untuk meraih sebanyak mungkin pengalaman.

Apatah lagi untuk berlumba di permukaan berbatu kerikil yang pastinya cukup mencabar buat Jos Verstappen walau pun beliau mengakui bahawa di aspal ketika berlumba di Belgium cukup kompetetif buatnya.
Pun begitu Jos Verstappen tetap mahu mempamerkan aksi cemerlang untuk mencabar pelumba yang jauh lebih muda beraksi dalam saingan ERC musim 2025 ini. Malah untuk kelas terbaharu yang diperkenalkan dalam ERC bermula 2025, Master ERC Championship Jos Verstappen tidak menolak untuk turut beraksi dalam kelas yang dikhususkan untuk mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
Aksi pembukaan ERC musim ini hanya akan bermula pada April nanti di 42nd Rally Sierra Morena – Córdoba Patrimonio de la Humanidad di Andalusia, Sepanyol.
Kredit Foto : ERC
BACA : ERC 2024 – ANDREA MABELLINI MENANG DI POLAND. HAYDEN PADDON JUARA ERC DUA KALI BERTURUT – TURUT!
BACA : ERC 2024 – OLIVER SOLBERG SEKALI LAGI MELAKUKANNYA UNTUK MUNCUL JUARA