
TERKINI: SYM ADXTG400 LANCAR BULAN DEPAN – BAWAH RM30K
Sebelum ini kami telah pun melaporkan bahawa MForce BIke Holdings Sdn Bhd akan memperkenalkan SYM ADXTG 400 untuk pasaran Malaysia tahun ini.
Ketika majlis buka puasa MForce yang berlangsung bulan lalu, Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad, telah pun mengesahkan bahawa skuter adventure pertama dari SYM itu akan masuk pasaran Malaysia bulan Mei ini.

Menariknya, laporan awal kami menjangkakan ADXTG 400 akan dijual dengan harga bawah RM31k namun maklumat terbaru diperolehi mengesahkan bahawa harga jualan bagi skuter itu adalah sekitar RM28k hingga RM29k sekaligus bakal berada dalam kelompok harga Zontes 368G.
Atas kertas, ADXTG 400 digerakkan enjin satu silinder 399cc yang berupaya menghasilkan 35hp dan 37Nm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menggunakan rantai berbanding tali sawat (belt).

Kedudukan enjin yang berada di tengah-tengah kerangka juga menjadikan motosikal ini lebih stabil dan seimbang.
Satu lagi ciri menarik yang menjadikan ADX TG 400 ini unik termasuklah satu-satunya skuter yang mengguna pakai swingarm jenis ‘aluminium’ dengan Sanyang Multilink Suspension. Tak cukup dengan itu, SYM turut memasang ‘handlebar’ boleh laras yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian penunggang.

Pelindung tangan dan penghadang angin tinggi turut disertakan secara standard disamping slot pengecas USB.
Untuk rekod, ADXTG 400 merupakan motosikal pertama SYM yang hadir dengan mod ‘off-road’ yang ditawarkann sistem ABS. Seperti kebiasaan, mod ‘off-road’ ini hanya akan mengaktifkan ABS di tayar depan. Brek mengejut juga akan mengaktifkan lampu brek kecemasan (EBL).

Berdasarkan kelengkapan dan komponen ditawarkan pastinya menarik untuk menanti pelancaran skuter ADV ini pada bulan Mei depan.







