
CHANGAN RASMI MASUK PASARAN INDONESIA, SEDIA CABAR BYD
Industri automotif Indonesia terus berkembang pesat dengan kedatangan satu lagi jenama besar dari China, CHANGAN, yang kini secara rasmi memulakan operasinya di negara itu.
Pelancaran yang berlangsung pada 19 November 2025 di Jakarta turut menandakan kerjasama strategik bersama Indomobil Group, salah satu pemain utama dalam ekosistem automotif Indonesia.
Kerjasama ini membuka lembaran baharu bagi pasaran tempatan, dengan kedua-dua pihak bertekad untuk memacu inovasi, mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik serta memperkukuh pembangunan mobiliti pintar untuk pengguna Indonesia.
Langkah ini juga selari dengan misi global CHANGAN untuk mengetengahkan mobiliti mampan dan memberi nilai tambah kepada kehidupan manusia.
Menurut Director Indomobil Group, Andrew Nasuri, kemasukan CHANGAN membawa nafas segar buat pasaran tempatan.

“Gabungan teknologi bertaraf global dengan pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna Indonesia akan melahirkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat, efisien dan sentiasa terhubung,” katanya.
Sementara itu, Senior Executive Vice President CHANGAN Automobile, Ye Pei, menyifatkan Indonesia sebagai pasaran penting di rantau Asia Tenggara.
Dalam tempoh sedekad lalu, syarikat itu telah melabur lebih daripada 110 bilion RMB, bersamaan kira-kira Rp250 trilion ( sekitar RM16.4 bilion) bagi pembangunan teknologi elektrifikasi dan mobiliti pintar.
CHANGAN kini memiliki rangkaian penyelidikan dan pembangunan di enam negara, menghasilkan ratusan inovasi termasuk lebih 400 teknologi dalam pembangunan kenderaan elektrik.
Antara pencapaian terbesarnya adalah pembinaan platform pintar serba baharu dikenali sebagai SDA (Super-Digital Architecture), iaitu asas kepada ekosistem kenderaan digital CHANGAN yang direka untuk berkembang mengikut keperluan pengguna.
Ia turut disokong oleh teknologi bateri Golden Shield yang menekankan keselamatan dan kecekapan tenaga.
Kemasukan CHANGAN ke Indonesia bukan sekadar menawarkan model baharu, tetapi membina asas perkhidmatan jangka panjang.
Bersama Indomobil Group, jenama ini akan menubuhkan rangkaian servis rasmi, memastikan bekalan alat ganti mencukupi dan memperkenalkan sistem sokongan pelanggan berasaskan digital bagi meningkatkan keyakinan pengguna.
Yang lebih menarik, kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk memulakan produksi tempatan pada masa depan.
Langkah ini bakal membantu pemindahan teknologi, membuka peluang pekerjaan serta mengukuhkan rantaian bekalan industri automotif negara, selari dengan aspirasi kerajaan menuju sasaran Net Zero Emission 2060.
Sebagai jenama global yang beroperasi di lebih 100 negara, CHANGAN turut menyasar untuk menjadi sebahagian daripada pelaku utama dalam perkembangan mobiliti rendah emisi di Indonesia, arena yang kini dikuasai pemain besar lain dari China, termasuk BYD.
Sebagai permulaan rasmi, CHANGAN akan memperkenalkan dua model pertamanya kepada umum pada pameran GJAW 2025, yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 30 November di ICE BSD City.
Acara itu bakal menjadi pentas penting untuk memperlihatkan visi masa depan mobiliti pintar yang dibawa jenama ini ke Indonesia.
- BACA: 2 PASUKAN PETUGAS KHAS DITUBUH TELITI INSIDEN KLIA, PTP, TREN BUTTERWORTH
- BACA: PASUKAN PENGELUAR LANCIA SAHIH AKAN MENYERTAI WRC2 MUSIM 2026 DENGAN YPILSON RALLY2 HF INTERALE
- BACA: MAZDA 6E EV BAKAL DEBUT DI MOTOR EXPO THAILAND – TAWAR JARAK GERAK 500KM
- BACA: PERMINTAAN BEV MENINGKAT, TIV OKTOBER CAPAI 75,992 UNIT








