Buletin

BYD M9 BAKAL DILANCARKAN DI INDONESIA, MPV MEWAH SEPARUH HARGA ALPHARD!

Pasaran MPV mewah di Indonesia dijangka semakin rancak apabila BYD M9 bersiap sedia untuk dilancarkan.

Model ini, yang sudah tersenarai dalam Pangkalan Data Kekayaan Intelektual (PDKI) Kementerian Hukum Indonesia, disebut-sebut sebagai calon pesaing terkuat Toyota Alphard.

MPV premium keluaran BYD ini mula membuat kemunculan sulung pada Chengdu Auto Show 2024 di China sebelum rasmi dipasarkan Januari 2025.

Di negara asalnya, ia dikenali sebagai BYD Xia, nama yang diambil daripada Dinasti Xia, dinasti pertama dalam sejarah China. Untuk pasaran antarabangsa, termasuk Indonesia, nama M9 dipilih agar sebaris dengan model MPV BYD lain seperti M6.

Lebih menarik, M9 bukan sahaja ditujukan untuk Asia Tenggara. Mexico bakal menjadi pasaran luar pertama menerima model ini, menandakan strategi global BYD dalam memperkukuh kedudukan di segmen MPV kelas premium.

Dari segi harga, M9 tampil sangat kompetitif. Di China, ia dijual antara 249,800 yuan hingga 309,800 yuan (RM162,000 – RM201,000).

Angka itu hampir separuh daripada harga Alphard di Indonesia yang mencecah lebih Rp 1.3 bilion (sekitar RM370,000). Kedudukannya juga berada di tengah-tengah antara BYD M6 dan Denza D9.

Tidak seperti model BYD lain yang berasaskan EV sepenuhnya, M9 hadir sebagai Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV).

Ia ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbocharged (154hp) dipadukan bersama motor elektrik 200kW (268hp), menghasilkan kuasa keseluruhan yang cukup untuk sebuah MPV bersaiz besar.

Terdapat dua pilihan bateri – 20.4kWh dengan jarak elektrik murni 100km atau 36.6kWh dengan jarak sehingga 180km. Dengan petrol dan bateri penuh, daya jelajah keseluruhan mampu mencecah 945km.

Reka bentuk luaran M9 banyak mengambil inspirasi daripada Denza D9, antaranya bumbung rata, pintu gelangsar, serta garis pilar-D yang tegas. Gril krom horizontal memberi sentuhan elegan, manakala lampu belakang LED berbentuk jalur memanjang menambah aura moden.

Dimensi M9 berukuran 5,145mm panjang, 1,970mm lebar, 1,805mm tinggi, dengan jarak roda 3,045mm. Saiz ini lebih panjang berbanding Alphard tetapi sedikit kompak berbanding Denza D9 – cukup besar di dalam, tetapi tidak keterlaluan dari luar.

Bahagian kabin pula menampilkan konfigurasi 2+2+3 dengan kerusi kapten di baris kedua. Ciri kemewahan seperti kerusi kulit, meja lipat, perehat kaki, serta sistem hiburan lengkap menambahkan keselesaan.

Tiga skrin besar turut ditawarkan: paparan tengah 15.6-inci, panel instrumen digital 12.3-inci, dan paparan penumpang depan 12.3-inci. Penumpang belakang pula mendapat skrin hiburan bumbung.

Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi M9 di Indonesia masih menjadi tanda tanya. Namun, banyak pihak menjangkakan ia akan diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2026.

Jika benar, kehadiran M9 akan melengkapi rangkaian BYD di Indonesia yang kini didominasi model EV sepenuhnya seperti Dolphin, Seal, Sealion 7, Atto 1, Atto 3, serta M6.

Google ads
Back to top button