Buletin

CHERY TIGGO 8 2026 DILANCAR DI CHINA – 282HP, DUA REKAAN HADAPAN, HARGA BERMULA RM72K

Chery telah memperkenalkan Tiggo 8 2026 serba baharu di pasaran China, menandakan kemunculan generasi kelima SUV keluarga popular itu.

Model baharu ini ditawarkan dalam empat varian dengan harga rasmi antara 99,900 hingga 129,900 yuan (anggaran RM72,000 hingga RM94,000), sementara pembeli awal boleh menikmati harga promosi dari 92,900 hingga 122,900 yuan (sekitar RM67,000 hingga RM89,000).

Menariknya, Tiggo 8 kini hadir dengan dua gaya reka bentuk luaran, dua susun atur dalaman, dan dua pilihan enjin, menjadikannya lebih fleksibel untuk pelbagai jenis pembeli.

Bahagian hadapan Tiggo 8 menampilkan falsafah rekaan “biomimetik” yang diinspirasikan oleh kuasa alam semula jadi.

Pembeli boleh memilih antara gaya Tiger atau Leopard, masing-masing dengan perincian unik pada gril hadapan – corak gigi untuk Tiger dan corak bilah untuk Leopard. Kedua-duanya dilengkapi lampu utama LED jenis matriks dan kemasan krom yang menaikkan imej premium.

Dari sisi, badan “Hunting Shadow” menonjol dengan garisan aerodinamik, lengkung roda berwarna hitam, serta kemasan krom di sekeliling tingkap. Bahagian belakang pula dihiasi jalur lampu LED melintang penuh bersama lencana “CHERY” yang besar.

Untuk dimensi, versi Tiger berukuran 4,749mm panjang, 1,880mm lebar dan 1,710mm tinggi, manakala Leopard sedikit lebih kompak dengan panjang 4,725mm dan tinggi 1,705mm. Kedua-duanya berkongsi jarak roda 2,825mm.

Bahagian dalaman Tiggo 8 baharu direka dengan dua tema berbeza: “Dawn Forest Wrap” untuk varian Tiger dan “Galaxy Jungle Dynamic” untuk Leopard. Ruang kabin dilengkapi dua skrin utama – satu 15.6-inci dan satu lagi 13.2-inci serta paparan meter digital 10.25-inci.

Sistem infotainmen menggunakan antara muka HMI5.0 bersama cip Snapdragon 8155, menyokong sambungan HiCar, Apple CarPlay, dan CarLink, serta pembantu suara AI yang boleh memahami pelbagai dialek dan arahan berbilang zon.

Antara ciri tambahan termasuk sistem audio lapan pembesar suara, pencahayaan ambien 256 warna, pengecas telefon tanpa wayar 50W, kerusi “10-layer Cloud SPA” dengan urutan, pengudaraan dan pemanas, serta meja lipat di tempat duduk belakang.

Sistem dual-bed mode dan teknologi ENC Active Noise Cancellation turut disediakan bagi keselesaan optimum.

Dari segi keselamatan, SUV ini diperkukuh dengan struktur badan 80% keluli berkekuatan tinggi serta lapan beg udara.

Sistem bantuan pemandu Chery Falcon 500 menawarkan keupayaan Tahap 2 (Level 2) dengan 16 fungsi termasuk kawalan pemanduan lebuh raya, parkir automatik dan parkir jauh. Akan datang, sistem Falcon 700 bakal diperkenalkan dengan ciri pandu sendiri di bandar dan “smart summon”.

Kuasa datang daripada dua pilihan enjin petrol Kunpeng:

  • 1.6TGDI dengan 215hp dan 320Nm, dipadankan transmisi Magna 7DCT
  • 2.0TGDI dengan 282hp dan 430Nm bersama kotak gear 8AT

Varian pacuan semua roda (AWD) dinamakan Snow Leopard, lengkap dengan tujuh mod pemanduan, sistem suspensi adaptif CDC dan kawalan tork pintar berasaskan AI untuk keselesaan dan kestabilan maksimum.

Dengan gabungan reka bentuk bergaya, teknologi moden, dan prestasi berkuasa, Chery Tiggo 8 2026 jelas menunjukkan hala tuju baharu Chery dalam segmen SUV keluarga – lebih pintar, mewah, dan dinamik daripada sebelumnya.

Google ads
Back to top button