
EON BAWA PENGALAMAN ZEEKR KE AEON SHAH ALAM
EON Bhd memperkenalkan pop-up store jenama kenderaan elektrik (EV) premium Zeekr di AEON Mall Shah Alam bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat rangkaian kenderaan serta teknologi yang ditawarkan jenama itu.
Pembukaan ruang pameran sementara itu merupakan sebahagian daripada usaha Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, untuk memperluas pilihan mobiliti kepada pengguna tempatan, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik premium.
Kehadiran Zeekr di pusat beli-belah berkenaan membolehkan pengunjung melihat dan meneroka jenama itu yang mengetengahkan reka bentuk moden, teknologi canggih serta pengalaman pemanduan elektrik yang berbeza.
Inisiatif itu turut menyusuli pemeteraian perjanjian pengedar antara EON dan Zeekr Malaysia pada 24 September lalu, sekali gus memperkukuh portfolio automotif EON dalam memenuhi keperluan pengguna yang semakin pelbagai.

Premis berkenaan beroperasi sebagai lokasi sementara untuk pelanggan mendapatkan maklumat mengenai Zeekr sementara kerja-kerja pengubahsuaian fasiliti tetap, Zeekr House Glenmarie, sedang dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial, berkata pembukaan lokasi sementara itu membolehkan lebih ramai pelanggan mengenali jenama Zeekr sebelum bilik pameran khususnya mula beroperasi.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan membawa pengalaman premium lebih dekat kepada pengguna, selain menyediakan akses awal kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kenderaan elektrik berkenaan.
Zeekr House Glenmarie dijangka siap pada suku pertama 2027 dan bakal menyediakan kemudahan yang lebih menyeluruh, merangkumi proses mendapatkan maklumat mengenai kenderaan, pembelian, penyerahan kenderaan serta khidmat selepas jualan.
Pembukaan fasiliti tetap itu dijangka memperkukuh pengalaman pelanggan sepanjang proses pemilikan kenderaan, termasuk mendapatkan sokongan selepas pembelian.
Melalui inisiatif berkenaan, EON meneruskan usaha mengembangkan peranannya sebagai pengedar automotif pelbagai jenama, seiring perkembangan industri mobiliti negara yang semakin memberi tumpuan kepada teknologi elektrik dan penyelesaian pengangkutan baharu.





