
ZEEKR MALAYSIA PERLUAS RANGKAIAN DI LEMBAH KLANG, JALIN KERJASAMA DENGAN EON
Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan menerusi pemeteraian perjanjian pengedar bersama Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).
Kerjasama strategik itu dijangka mempercepatkan pengembangan rangkaian jualan dan selepas jualan Zeekr di Malaysia, sekali gus meningkatkan akses pelanggan kepada barisan model premium elektrik jenama berkenaan yang merangkumi Zeekr X, Zeekr 009 dan Zeekr 7X.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar menambah bilangan pusat jualan, malah sebahagian daripada usaha syarikat untuk mempertingkatkan pengalaman pemilikan pelanggan.
Menurutnya, pengalaman luas EON dalam operasi runcit automotif dan pengurusan pelanggan akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Zeekr dalam segmen EV premium yang semakin berkembang di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata, pihaknya komited untuk membangunkan ekosistem yang mampu menggabungkan teknologi serta inovasi Zeekr dengan standard perkhidmatan pelanggan.
Beliau berkata, pelanggan akan menikmati sokongan menyeluruh bermula daripada proses pemilihan kenderaan, pembelian sehingga perkhidmatan selepas jualan sepanjang tempoh pemilikan.
Sebelum kerjasama dimeterai, wakil EON turut mengadakan lawatan ke fasiliti Zeekr di China bagi meninjau sendiri teknologi, proses pengeluaran serta pendekatan jenama itu dalam pembangunan mobiliti elektrik.
Dalam fasa pertama kerjasama tersebut, EON akan mengendalikan sebuah Zeekr Pop-up Store di AEON Mall Shah Alam yang dijadual memulakan operasi pada Oktober 2026.
Premis seluas kira-kira 1,340 kaki persegi itu bakal menjadi pusat pameran sementara bagi memperkenalkan model-model Zeekr kepada pelanggan di Shah Alam dan kawasan sekitarnya.
Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat model Zeekr X, Zeekr 009 dan Zeekr 7X selain mendapatkan maklumat berkaitan ciri kenderaan, teknologi serta pakej pemilikan yang ditawarkan.
Pusat pameran sementara itu juga akan berfungsi sebagai titik sentuhan awal pelanggan sementara pembangunan fasiliti tetap Zeekr House Glenmarie disiapkan.
Dalam fasa seterusnya, Zeekr Malaysia dan EON akan membangunkan Zeekr House Glenmarie yang bakal menghimpunkan operasi jualan, penyerahan kenderaan serta perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung.
Kemudahan itu dijangka siap pada suku pertama 2027 dan akan menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh, bermula daripada proses pembelian sehingga penyelenggaraan kenderaan.
Pembangunan Zeekr House Glenmarie mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh rangkaian sokongan pelanggan dan meningkatkan kemudahan akses kepada pemilik Zeekr di Lembah Klang.
Zeekr Malaysia turut memaklumkan bahawa syarikat akan terus bekerjasama dengan rakan niaga automotif berpengalaman bagi memperluaskan rangkaian jualan dan selepas jualannya di seluruh negara pada masa hadapan.







