Buletin

ZEEKR BANGUNKAN SUV LASAK PENCABAR MERCEDES-BENZ G-CLASS, SASAR PRODUKSI 2028

Zeekr dilaporkan sedang mengkaji pembangunan sebuah SUV mewah berimej lasak dengan reka bentuk berkotak yang bakal bersaing dalam segmen sama seperti Mercedes-Benz G-Class.

Menurut laporan media China, Future Car Daily pada 4 November, projek berkenaan masih berada pada peringkat kajian kebolehlaksanaan.

Bagaimanapun, Zeekr dikatakan sudah memulakan perbincangan teknikal dengan beberapa pembekal utama bagi menilai keperluan pembangunan model tersebut.

Pengeluaran secara besar-besaran disasarkan sekitar 2028 hingga 2029, namun projek itu masih belum mendapat kelulusan rasmi pihak pengurusan dalaman.

Berbeza dengan kebanyakan SUV off-road tradisional yang menggunakan struktur badan di atas rangka (body-on-frame), model baharu Zeekr itu dikatakan bakal menggunakan binaan unibody atau struktur separa bersepadu.

Pendekatan tersebut menggabungkan motor elektrik dengan kawalan bebas, sistem suspensi udara jarak gerak panjang serta fungsi pemulihan kenderaan berasaskan perisian.

Teknologi berkenaan membolehkan agihan kuasa kepada setiap roda dikawal secara elektronik, selain pelarasan suspensi bagi meningkatkan keupayaan meredah permukaan tidak rata tanpa terlalu bergantung kepada perkakasan mekanikal konvensional.

Bagaimanapun, pembangunan struktur badan menjadi antara cabaran utama kerana ia perlu menahan tekanan kilasan ketika melalui laluan ekstrem, selain memastikan pek bateri dan bahagian bawah kenderaan dilindungi dengan baik.

Zeekr juga mempunyai pengalaman dalam teknologi motor elektrik bebas menerusi model Zeekr 001 FR yang menggunakan sistem empat motor dengan teknologi silikon karbida serta kawalan agihan tork kepada setiap roda.

Teknologi itu berpotensi disesuaikan untuk kegunaan off-road, dengan penalaan khusus bagi menghasilkan cengkaman pada kelajuan rendah serta kawalan kuasa yang lebih tepat ketika melalui permukaan mencabar.

Dari segi trenkuasa, Zeekr berkemungkinan mengambil inspirasi daripada model SUV besar sedia ada seperti Zeekr 9X dan Zeekr 8X yang menggunakan sistem plug-in hybrid berasaskan seni bina elektrik 900V.

Sistem hibrid plug-in juga dilihat lebih praktikal untuk perjalanan jarak jauh di kawasan luar bandar atau laluan off-road yang mempunyai kemudahan pengecasan terhad.

Namun, konfigurasi trenkuasa sebenar model baharu itu masih belum didedahkan.

Perancangan ini turut selari dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Zeekr International, Mars Chen, dalam satu temu bual pada Mei 2026 yang menyebut kenderaan off-road berkeupayaan tinggi sebagai antara hala tuju produk berpotensi untuk jenama berkenaan.

Sekiranya direalisasikan, SUV tersebut bakal berdepan persaingan daripada beberapa model seperti BYD Yangwang U8, Fangchengbao Bao 8 serta Mercedes-Benz G 580 with EQ Technology yang membawa identiti G-Class ke era elektrifikasi.

Google ads
Back to top button