Buletin

KILANG EV PROTON BAKAL PASANG MODEL ZEEKR, HARGA LEBIH KOMPETITIF

Industri automotif negara terus mencatat perkembangan besar apabila jenama EV premium milik Geely, Zeekr, disahkan berpotensi untuk dipasang di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjong Malim tidak lama lagi.

Pengumuman ini hadir selepas pelancaran rasmi kilang pemasangan EV pertama PROTON di Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kilang baharu ini dibina dengan pelaburan keseluruhan bernilai RM82 juta dan akan menjadi pusat pengeluaran utama kenderaan elektrik (EV) bukan sahaja untuk model Proton e.MAS, tetapi juga berpotensi menjadi pusat pemasangan jenama premium di bawah kumpulan Geely.

Zeekr, jenama yang terkenal dengan teknologi bateri canggih, jarak pemanduan yang kompetitif dan kemasan premium, dijangka menjadi antara jenama pertama yang menyertai pelan pemasangan tempatan di AHTV. Ini selaras dengan rancangan Geely dan PROTON untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) dan EV premium.

Kilang EV AHTV – Pusat Pemasangan Canggih di Asia Tenggara

Kilang pemasangan EV ini dibina di atas tapak seluas 5.57 ekar dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun yang boleh ditingkatkan sehingga 45,000 unit setahun.

Dengan reka bentuk modular dan teknologi automasi terkini, kemudahan ini mampu menyokong pelbagai platform kenderaan elektrik, termasuklah platform Zeekr yang menggunakan teknologi SEA (Sustainable Experience Architecture).

Dalam ucapan perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong berkata “Pelancaran kilang EV ini bukan sahaja untuk Proton e.MAS, tetapi juga membuka ruang bagi jenama global di bawah Geely untuk dihasilkan di Malaysia. Dengan AHTV, kita mempunyai keupayaan untuk menjadi pusat pengeluaran EV serantau.”

Zeekr – Pesaing Premium Untuk Tesla & BYD

Kemungkinan Zeekr dipasang di Malaysia akan mengubah landskap pasaran EV tempatan yang kini didominasi oleh jenama seperti Tesla dan BYD. Zeekr sebelum ini telah memperkenalkan beberapa model EV berprestasi tinggi seperti Zeekr 001, Zeekr X dan Zeekr 7X yang menawarkan teknologi bateri jarak jauh, pengecasan ultra pantas dan sistem pemanduan pintar.

Jika perancangan ini menjadi kenyataan, pengguna Malaysia berpeluang menikmati harga yang lebih kompetitif untuk EV premium berbanding harga import CBU (Completely Built-Up) sebelum ini.

Google ads
Back to top button