ERC 2025 – LAPAN LOKASI PERLUMBAAN TELAH DISAHKAN. CROATIA DAN POLAND KEMBALI SEMULA KE KALENDAR PERLUMBAAN
Kalendar perlumbaan FIA European Rally Championship (ERC) musim 2025 akhirnya telah disahkan dengan menyaksikan Sepanyol merupakan lokasi baharu yang akan turut serta dalam perlumbaan. Selain daripada itu, Croatia dan juga Poland antara lokasi yang kembali semula ke dalam kalendar perlumbaan untuk musim hadapan.
Perlumbaan musim hadapan akan membabitkan lapan lokasi membabitkan lima permukaan aspal dan tiga permukaan batu kerikil. Mengikut jadual, perlumbaan pembukaan hanya akan bermula seawal April dengan permukaan aspal di 42nd Rally Sierra Morena – Córdoba Patrimonio de la Humanidad, Sepanyol pada 4 – 6 April 2025.
Selepas menjadi tuan rumah perlumbaan pembukaan kempen ERC tahun ini, V-Híd Rally Hungary akan menjadi lokasi kedua dengan permukaan batu kerikil pertama pada 9 – 11 Mei 2025 diikuti oleh BAUHAUS Royal Rally of Scandinavia di Sweden pada 29 – 31 Mei 2025 perlumbaan dengan permukaan yang mencabar dua kali berturut-turut. Aksi di 81st Rally Poland melengkapkan trio perlumbaan permukaan batu kerikil untuk ERC musim hadapan dari 13 – 15 Jun 2025.
Perlumbaan rali ERC bersambung di permukaan aspal di lokasi Rally di Roma Capitale, Itali pada 4 – 6 Julai 2025 sebelum perlumbaan diteruskan di Barum Czech Rally Zlín untuk 15 – 17 Ogos 2025.
Pada 5 – 7 September 2025 akan berlangsung JDS Machinery Rali Ceredigion yang juga merupakan lokasi baharu untuk edisi ERC 2024 ini sekali gus menandakan kepulangan semula penganjuran ERC di United Kingdom semenjak tahun 2016.
Perlumbaan penentuan yang juga perlumbaan terakhir akan diadakan di Croatia Rally pada 3 – 5 Oktober 2025. Perlumbaan yang akan diadakan di Bandar Zagreb ini merupakan kepulangan semula lokasi ini ke kalendar ERC setelah kali terakhir diadakan pada 2013.
Musim ini, Juara ERC sekali lagi menjadi milik pemandu dari Australia Hayden Paddon buat kali kedua berturut – turut sekali gus menjadikan beliau bukan pemandu dari Eropah untuk memenangi tahta ERC.
Ketika ini semua pasukan masih lagi sedang berehat dan cuma bekas Juara ERC 2022 Efrén Llarena mengesahkan bahawa beliau akan menubuhkan pasukan sendiri Llarena Racing untuk beraksi musim hadapan sekali gus akan memegang peranan Prinsipal & Pemandu utama.
BACA : ERC 2024 – HAYDEN PADDON AKAN BERAKSI UNTUK MEMBURU KEJUARAAN ERC DI POLAND
BACA : ERC 2024 – OLIVER SOLBERG SEKALI LAGI MELAKUKANNYA UNTUK MUNCUL JUARA