MOTO MORINI SEDIA CABAR SEGMEN ADV 1000CC DENGAN X-CAPE 1200 – 125HP, 105NM
Sebelum ini kami telah pun membawakan beberapa perkembangan mengenai Moto Morini di EICMA dan jenama motosikal Itali itu jelas menyediakan portfolio yang banyak bagi tahun 2025.
Terbaru, Moto Morini menyuarakan hasrat untuk bersaing dalam segmen motosikal adventure 1000cc menerusi X-Cape 1200 serba baharu yang membuat debut global di EICMA awal bulan ini.
Ini bukan kali pertama kami melihat X-Cape 1200 kerana gambar motosikal tersebut pernah diterbitkan ketika Moto Morini memfailkan tanda dagangan di China tahun lalu.
Atas kertas, Moto Morini X-Cape 1200 menampilkan reka bentuk jentera adventure masa kini dengan panel sisi yang besar dan bersegi, tangki yang besar, penghadang angin tinggi, dan tempat duduk yang luas dan selesa.
Bagi memastikan X-Cape 1200 tidak ketinggalan di belakang pesaing lain, motosikal ini datang dengan ciri terkini antaranya lampu nyalaan LED dengan ‘cornering light’ (yang akan diaktifkan ketika melalui selekoh).
Bahagian depan pula menempatkan ‘dash-cam’ yang akan membuat rakaman perjalanan sementara bahagian belakang pula dilengkapi dengan radar bagi fungsi pengesanan ‘blind spot’, ciri sama turut ada pada BMW R 1300 GS, Ducati Multistrada V4 dan KTM 1390 Super Adventure.
Kelengkapan brek juga premium dengan brek Brembo (berkembar) depan dan (tunggal) belakang yang dipadankan dengan cakera berkembar 320mm depan dan 280mm belakang.
Pakej elektronik juga serba lengkap dengan skrin TFT berwarna 7-inci yang menawarkan fungsi navigasi, cruise control, quick-shifter dan traction control dengan tiga peringkat tetapan. Selain itu, motosikal ini turut menawarkan 3-mod menunggang.
X-Cape 1200 ini juga tidak ketinggalan dari segi kuasa apabila menawarkan 125hp pada 9,000rpm dan 105Nm pada 7,000rpm yang dihasilkan dari enjin dua-silinder V2 Corsa Corta EVO 1,187cc dengan nisbah mampatan 12.4:1.
Kelengkapan lain ditawarkan termasuk kerangka jenis trellis, fork depan jenis terbalik boleh laras, rim spoke (lidi) berukuran 19-inci depan dan 17-inci belakang yang dipadankan dengan tayar Pirelli Scorpion Trail 3 terbaru serta tangki bahan api berkapasiti 23L.
Sementara itu, ketinggian tempat duduk adalah 860mm sementara berat bersih adalah 245kg manakala jarak kelegaan tanah diletakkan pada 190mm.
GALERI: MOTO MORINI X-CAPE 1200 2025